Sunday, March 20, 2011

Sangka Baik Pada Diri


APA YANG ANDA KATAKAN TERHADAP DIRI SENDIRI JAUH LEBIH PENTING DARIPADA APA YANG ORANG LAIN KATAKAN TERHADAP ANDA. OLEH ITU, KATAKAN SESUATU YANG POSITIF KEPADA DIRI SELALU, ITU PETANDA ANDA TELAH BERSANGKA BAIK TERHADAP DIRI SENDIRI…

INGATLAH, BERSANGKA BAIK TERHADAP DIRI SENDIRI ADALAH MODAL UNTUK BERSANGKA BAIK KEPADA ORANG LAIN!

Syarat utama bagi kejayaan dalam sesuatu komunikasi (perhubungan) ialah kepercayaan. Yang dimaksudkan dengan kepercayaan dalam perhubungan ialah rasa percaya seseorang terhadap orang yang dihubungi – jika perhubungan itu keluar. Atau kepercayaan seseorang terhadap dirinya sendiri – jika perhubungan itu ke dalam diri sendiri.

Sekiranya kepercayaan seseorang itu tinggi terhadap dirinya sendiri, maka ia akan berjaya dalam komunikasi dengan dirinya sendiri. Sebaliknya, jika kepercayaan seseorang sudah terjejas, apalagi jika sudah pupus, maka sukarlah komunikasi berlaku samada secara dalaman atau luaran.


Komunikasi dalaman, sangat berkait dengan kepercayaan terhadap diri sendiri. Sedangkan komunikasi luaran berkait dengan kepercayaan terhadap orang lain. Kita akan gagal berkomunikasi dengan diri sendiri jika kepercayaan terhadap diri sendiri menjadi lemah. Dan begitu juga, kita akan gagal berkomunikasi dengan orang lain jika kita tidak ada sifat saling percaya-mempercayai.


Sikap tidak mempercayaai diri sendiri adalah lebih merosakkan kita daripada sikap tidak mempercayai orang lain. Orang yang tidak percaya akan kemampuan, kebolehan dan kelebihan dirinya tidak akan berjaya dalam hidupnya. Oleh itu, kita mestilah selalu mempertingkatkan kepercayaan terhadap diri sendiri, untuk membolehkan kita melakukan ‘self motivated’. Dan salah satu cara untuk ‘self motivated’ ialah dengan melakukan komunikasi dalaman.


Dalam kehidupan sehari-hari, kita selalu memperkatakan tentang bagaimana seseorang dapat membantu seseorang yang lain melalui perantaraan komunikasi. Tetapi jarang kita mendengar seseorang membantu dirinya sendiri melalui perantaraan komunikasi. Apakah kita perlu bercakap-cakap dengan diri sendiri? Apakah ini gila namanya? Kalau boleh, bagaimana? Bagaimanakah yang dikatakan kita sedang berkomunikasi dengan diri sendiri?


Antara dua bahagian komunikasi ini, komunikasi dalaman mempunyai kesan yang besar pada manusia. Sayangnya, ia selalu diabaikan dan dipinggirkan berbanding komunikasi luaran. Tidak seperti komunikasi luaran yang kerap dititik-beratkan, dijaga dan dipelajari, komunikasi dalaman kekadang tidak dipedulikan lansung, apalagi hendak dipertingkatkan Manusia kerap kali mementingkan hubungannya dengan manusia lain, tanpa menyedari bahawa dia juga amat perlu untuk berkomunikasi dengan dirinya sendiri. Inilah yang dikatakan komunikasi ke dalam diri.



Kemahiran berkomunikasi dalaman inilah yang boleh menentukan kemampuan seseorang memilih responnya. Jika kemampuannya tinggi, maka semakin berkuasalah seseorang dalam memilih tindakannya dan semakin berjayalah ia dalam hidupnya.



Banyak faktor yang menentukan kemampuan atau tahap komunikasi dalaman. Antaranya yang paling utama ialah faktor keyakinan. Keyakinan mempunyai kesan yang sangat besar kepada pancaindera yang lima bila berdepan dengan respon. Siapa yang mempunyain keyakinan yang kuat, maka pancainderanya juga akan kuat untuk mentafsirkan, merasai dan memberi gambaran yang positif terhadap respon yang dihadapinya.


Keyakinan pula dibentuk oleh ibu-bapa, suasana, kawan, guru dan peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam hidup. Jika keyakinan kita positif, maka positif jugalah komunikasi dalaman yang berlaku ke dalam diri kita. Orang yang mempunyai keyakinan yang kuat dan positif, akan menjadi seorang yang rajin, positif dan optimis. Sebaliknya, jika keyakinan seseorang lemah, maka seseorang akan menjadi malas, negatif dan pesimis.


Faktor kedua ialah percakapan terahadap diri sendiri. Percayakah kita bahawa dalam sehari kita lebih banyak bercakap dengan diri sendiri berbanding bercakap dengan orang lain. Malangnya, 70% percakapan terhadap diri sendiri ini adalah negatif. Untuk berjaya, percakapan yang negatif ini mesti ditukar kepada yang positif. Jika tidak, kita akan melakukan sabotaj terhadap diri sendiri. ”Aku tidak boleh” mesti ditukar kepada ”aku boleh.”


Jadi, semaklah apa yang kita selalu katakan kepada diri sendiri… Apakah negatif atau positf? Jangan biarkan kita menjadi musuh terhadap diri sendiri dengan komunikasi yang menyebabkan kita ’gagal’ sebelum gagal!

Thursday, March 3, 2011

ما رايت شيئا الا رايت الله فيه


Assalamua'laikum warahmatullah

Perkongsian bersama di pagi hari...:>

Khalifah Islam kedua, Umar Bin al-Khattab bertanya kepada Ubai Bin Ka'ab, "Apakah hakikat taqwa?"
Ubai bertanya pila," Pernahkah Amirul Mukminin melalui jalan yang banyak onak dan duri?"
Umar menjawab," Ya".
Ubai bertanya lagi,"Bagaimana?"
Umar menjawab,"Saya berjalan dengan berwaspada dan bersungguh-sungguh supaya tidak memijak atau terpijak onak dan duri."
Ubai menjawab," Itulah hakikat taqwa".

Begitulah sukarnya mencapai darjat taqwa. Namun rindu menggamit untuk sampai kepadanya. Masakan tidak, hanya itu jalan bertemu dengan Sang Pencipta. Betapa gentar, pasti digagahi jua.

(Takwa, Takut tetapi Rindu) Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang

Bait-bait ayat di atas ingin ku capai setiap kali terjaga dari mati yang sementara. Dengan harapan setiap gerak geri ku dirahmati dan diredhaiNya. Taqwa, sering kali dijadikan topik ceramah di kala bulan Ramadhan. Bagi ku, berakhirnya Ramadhan pun perlu difikirkan bagaimana untuk menggapai tahap taqwa ini.

Sedikit perkongsian tentang sahabat yang baru menjalani minor surgery tempoh hari. Keadaannya semakin pulih. Alhamdulillah segalanya berjalan dengan baik. Berkat doa kedua orang tuanya serta sahabat yang sentiasa di sisi meniupkan semangat perjuangan. Kesempatan ku menziarahinya di Hospital Serdang mempertemukan dengan seorang teman. Beliau juga mengalami kemalangan dan bakal menjalani pembedahan di bahagian kaki kanannya. Rakan-rakannya turut menziarahinya sebagai tanda simpati dengan apa yang Allah timpakan pada dirinya.

Setiap perkara yang Allah datangkan pada hambaNya adalah semata-semata untuk mentarbiyah mereka, mengingatkan kembali rasa diri bertuhan. Setiap kali ditimpa musibah, kita akan kembali mengingati Allah. Sebagai muslim, penyambung mata rantai perjuangan Rasulullah SAW, kita sepatutnya sentiasa mengingati Allah, biar di waktu senang atau susah.

Sebagai manusia biasa, iman ku jua ada naik dan turunnya. Masalah yang ku hadapi sekarang ini, sedikit sebanyak mematangkan ku. Allah Maha Pengasih dan Penyayang. Didatangkan pada ku banyak peluang untuk membantu ku mengatasi masalah yang ku hadapi. Seorang ustazah pernah berkongsi suatu kata-kata, dan kini turut menjadi kata semangat buat diriku...:

"ما رايت شيئا الا رايت الله فيه "
Tiada ku lihat sesuatu perkara,melainkan Allah padanya.

Redha dengan apa yang ditentukan Allah pada kita.

Selain itu, ingin ku kongsikan juga berkenaan berlengahnya kita melakukan sesuatu perkara. As-Syahid Imam Hassan Al-Banna mengingatkan,"Kerja yang kita ada melebihi masa yang kita ada". Ku mohon selalu pada Allah supaya dihadirkan kebencian dalam jiwa ku kepada apa yang dinamakan 'membuang masa'. Tinta seorang pendakwah dan aktivis kemanusiaan dalam bukunya Cinta Di Langit Gaza,"Masa adalah modal untuk bertemu dengan Allah dalam keadaan yang kita dipertanyakan tentang nilai umur. Membunuh masa adalah jenayah yang akan mengundang bala di hari akhirat.(Ridhuan Mohamad Nor).

Akhir kalam, ku harapkan kalian yang membaca juga dikurniakan Allah benci kepada membuang masa. Manfaatkan setiap saat yang ada.
'Belajar daripada kegagalan dan kelemahan akan lebih meyakinkan'. Nasihat daripada murobbi yang sentiasa menjadi rujukan ku.

Wallahua'lam...
~28 Rabiulawal 1432H bersamaan 3 mac 2011~1226