Tuesday, March 24, 2009

CIRI-CIRI DAN AKHLAK YANG PERLU ADA DALAM PIMPINAN GERAKAN ISLAM


Menyedari hakikat bahawa memimpin umat Muhammad saw di dunia ini adalah satu tanggungjawab yang amat besar serta menggerunkan, umat Islam dianjurkan dan wajib memilih kepimpinan yang mampu menjalankan tugas pentadbdiran harian yang baik dan cemerlang. Maka ulama telah memberikan garis panduan dan memilih kepimpinan dengan ciri-ciri dan sifat tertentu kerana pemimpin Harakah Islamiyyah adalah menjadi contoh dan perhatian kepada masyarakat serta menjadi qudwah dan uswah hasanah kepada anggota harakah dan masyarakat. Contoh, kepimpinan Rasulullah saw.

Di bawah adalah beberapa sifat, ciri-ciri dan akhlak yang sepatutnya ada kepada pemimpin harakah Islamiyyah di semua peringkat:-

1. Ikhlas kepada Allah dan benar-benar mengharapkan keredhhan Allah dalam setiap gerakerja kerana tanpa ikhlas maka seseorang itu tidak akan dapat apa-apa ganjaran daripada Allah swt dan hendaklah bersih daripada sifat ujub, ingin masyhur, inginkan pangkat dan kedudukan dan sanjungan.

2. Mempunyai daya berfikir yang cergas, bijaksana, berpengalaman dan pengetahuan yang luas tentang gerakan, cepat memahami dan menyelesaikan masalah, tidak pelupa tidak buntu fikiran di waktu marah dan gawat.

3. Tenang, tidak pemarah, bertimbang rasa dan pengasih.

4. Lemah lembut, Rasulullah sentiasa memuji sifat tersebut bersabda:
' Sesungguhnya Allah itu lembut, sukakan kepada lemah lembut dan memberi melalui lemah lembut dan Dia tidak memberi melaui kekerasan dan melalui apa jua selain daripadanya.'

5. Berani dan bermaruah, tidak penakut dan gopoh gapah, tidak pengecut. Sebaik-baik keberanian ialah orang yang berani menyatakan yang hak dan menyembunyikan rahsia, mengakui kesilapan dan insaf kepada diri sendiri.

6. Bercakap benar dalam semua keadaan.Supaya sifat ini terjaga, seorang pemimpin hendaklah cermat menerima dan menyampaikan berita yang diterima.

7. Bersifat tawadhuk dan merendah diri terhadap orang mukmin. Firman Allah swt, ' dan rendahkanlah diri kamu kepada pengikut-pengikut kamu dan kepad orang-orang beriman. (As Syura 125)

8. Bersifat pemaaf, menyembunyikan kemarahan dan berbuat baik kepada pesalah. Firman Allah swt, ' dan orang-orang yang menyembunyikan kemarahannya dan memaafkan kesalah-kesalahan manusia, dan Allah sukakan kepada orang yang bersifat ihsan dan memberi maaf.'
(ali imran 134)

9. Menunaikan janji/menepati janji (masa)

10. Sabar. Perjalanan Harakah Islamiyyah yang jauh menuntut kesabaran yang terlalu tinggi kerana terpaksa berhadapan dengan berbagai ujian dan cabaran, mehnah dan tribulasi. Orang yang tidak sabar seharusnya tidak menerima apa-apa jawatan dalam harakah Islamiyah.

11. Bersih diri dari kepentingan peribadi dan murah hati.

12. Wara' dan zuhud.

13. Menjaga batas-batas agama.

14. Bersikap adil dan sentiasa menginsafi diri.

15. Menjaga perpaduan jamaah.

16. Tegas dan tawakkal kepada Allah.

17. Bersederhana dalam semua urusan.

18. Tetap di atas landasan kebenaran.

19. Menjauhi diri dari berbangga dengan kejayaan dan tidak memuji diri.

20. Sentiasa waspada.

Ada lagi sifat-sifat tambahan tetapi di atas adalah sifat utama yang perlu ada pada kepimpinan gerakan, sifat-sifat tambahan seperti ihsan kepada faqir, memuliakan anak yatim dan fakir miskin, bermanis muka dengan semua orang, menjauhkan diri dari bercakap kasar, memaki hamun, tidak suka berseloroh, menonjolkan diri, menengking, menjauhkan diri daripada bid'ah dan syubhah, menjaga segala perbuatan sunnah dalam setiap gerakgeri, taqarrub ilallah dengan amalan fardhi seperti zikrullah, baca quran, qiamullail selain dari selalu muhasabah diri.

Selain daripada itu pemimpin gerakan mestilah bersedia untuk ditarbiyah atau melalui proses tarbiyah semua peringkat sentiasa hadirkan diri dalam program tarbiyah semua peringkat seperti usrah, tamrin, liqa ul fikri dan lain-lain.

Garispanduan ini sangat penting kepada kita semua samada kita sebagai pemimpin atau memilih pemimpin gerakan Islam kerana jika ciri-ciri di atas tidak dipenuhi maka akan berlaku kecelaruan dalam gerakan dan kadang-kadang boleh mencetuskan masalah dalaman yang tidak berkesudahan.

Mudah-mudahan Allah sentiasa membantu dan memudahkan segala urusan kita dalam kita menjalankan kerja-kerja memenangkan Agama Allah swt.

Waallahu a'lam.

Sebahagian dipetik dari Kitab Amal Jama'ie: Pengertian dan Tuntutan oleh Al Fadhil Tuan Guru Ust. Hj Yahya b Othman.

Oleh: Ummu Muaz