Thursday, July 29, 2010

Untukmu Yang Bergelar Pejuang.



Pejuang.

Hidupmu dengan cabaran memang kembar yang takkan mampu dipisahkan. Kamu dengan dugaan adalah satu yang takkan mampu dipecahkan.

Maka jangan kamu menangis hiba. Jangan kamu tunduk mencuka.

Memang manusia-manusia tidak akan memahami kamu. Bahkan mereka kan sentiasa membebankanmu.

Maka jangan kamu meminta kepada mereka.

Aku disisimu, hendak menceritakan sesuatu.

Syyyhh… jangan menangis.

Seka air matamu wahai pejuang.


Lumrah pejuang

Apakah kau tahu lumrah pejuang?

Tidak dapat tidak, dua perkara daripadanya tidak akan terpisah.

Cabaran dan pengorbanan.

Kau diminta untuk memahami, tanpa kau perlu difahami. Kau diminta memberi, tanpa kau perlu memberi. Kau menongkah cabaran itu dan ini, tetapi kau tetap perlu mengorbankan itu dan ini. Kau ke mana sahaja wahai pejuang, pergilah ke mana sekalipun, selagi kau berjuang dan menjadi pejuang, kau memang akan menghadapi cabaran, dan kau perlu berkorban.

Kau akan kepenatan, kau akan keletihan, kau akan rasa kelaparan dan kedahagaan. Lorong-lorong cabaran, dan pengorbanan- pengorbanan yang kau lakukan, menghasilkan satu tekanan yang besar walaupun di wajahmu terpampang senyuman.

“…mereka ditimpa dengan kemelaratan, penderitaan dan digoncang(dengan pelbagai cubaan)…” Surah Al-Baqarah ayat 214.

Orang lain tak akan memahami. Dan tiada antara mereka yang mahu memahami.

Lumrah kau di atas jalan perjuangan ini.

Sampai satu tahap kau rasa sendiri. Timbul rasa benci. Tambah rasa sakit hati.

Betapa kau lihat manusia-manusia lain begitu jelek dengan perangai mereka.

Sungguh, mereka meminta kau memahami, tetapi kau langsung tidak difahami mereka.

Kau sedih? Kau rasa sudah mencium limitasi?

Ya, aku memahami. Inilah dia lumrah kau wahai pejuang.

Tetapi jangan fikir engkau terbuang.

Syyyh… jangan menangis. Seka air matamu.

Dia ada untukmu.

Dia

Manusia lain terbatas dalam mengenalimu. Mereka hanya satu beberapa juzu’ kehidupanmu dan berkata ini dan itu. Kau lakukanlah apa sahaja, mereka tetap tidak akan memahamimu. Ya, aku mengerti itu.

Tetapi Dia ini istimewa. Dia tahu segala. Dia faham kau serbi serba. Tahukah kau betapa Dia melimpahkan untuk kau cinta? Dia sentiasa rapat bersama, tidak pernah meminggir walau seketika.

Syyyhhh… jangan menangis. Seka air matamu.

Benar Dia tidak akan berbicara denganmu secara terus. Tetapi pernahkah kau melihat kalamNya yang mampu kau pegang dan baca itu?

“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu(Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya Aku amat dekat…” Surah Al-Baqarah ayat 186.

Dan ketahuilah dikau bahawa utusanNya itu pernah bersabda:

“…sekiranya mereka itu berkumpul untuk memberikan mudarat kepadamu, maka mereka itu tidak akan mampu memudaratkan kamu walau dengan apa pun kecuali dengan apa yang telah ditetapkanNya ke atas kamu” Hadith riwayat Tirmidzi, hadith ke 19 di dalam hadith 40 An-Nawawi.

Seka air matamu.

Dia ada di sisimu. Sangat dekat. Menjagamu. Memahamimu.

“Dan demi sesungguhnya, Kami telah menciptakan manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya. Sedang Kami lebih dekat kepadanya daripada urat nadinya” Surah Qaaf ayat 16.

Aaah… Jangan menangis. Seka air matamu pejuang.

Dia menjagamu. Menjagamu.

Merapatlah

Pejuang, seka air matamu itu.

Dia tidak sekadar bersamamu, bahkan memberikan segala pertolongan yang kau mahu. Pejuang, jangan kau meminta kepada selainNya. Pintalah kepada Dia dan Dia sahaja.

Jangan kau minta manusia memahamimu. Jangan kau minta manusia menghargaimu.

Mereka tidak akan memberikannya sehingga puas hatimu. Kerana mereka dengan hidup mereka, dan mereka bukannya kamu. Mereka juga menagih pemerhatian orang lain dan mengharapkan yang lain menuruti kepuasan mereka. Yang tidak mempunyai apa-apa, memang tak akan mampu memberikan kau apa-apa.

Tetapi Dia punya segalanya.

Dia menawarkanmu sesuatu yang takkan dapat ditawarkan sesiapa.

“Dengan itu Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik di dalam Syurga ‘Adn. Itulah dia kemenangan yang besar.” Surah As-Saff ayat 12.

Maka bersabarlah. Seka air matamu. Pastinya kau akan berjaya.

“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayah-Nya.” Surah Al-Baqarah ayat 155-157.

Dan Dia bukan penipu.

“Dengan kemenangan yang diberi Allah. Ia memberi kemenangan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan Dia lah jua yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani. Demikian dijanjikan Allah. Allah tidak pernah memungkiri janjiNya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).” Surah Ar-Ruum ayat 5-6.

Maka seka air matamu pejuang. Hentikan hinggutan bahumu.

Merapatlah kepadaNya. Sungguh Dia akan membantumu.

“Dan berkatalah Rabb kamu: Berdoalah kepadaKu, nescaya akan Aku makbulkan” Surah Ghaafir ayat 60.

“Sekiranya kamu membantu urusan Allah, maka Allah akan membantu kamu(dalam urusan kamu) dan menguatkan pula kaki-kakimu” Surah Muhammad ayat 7.

“Jagalah Allah, maka Allah akan menjagamu. Jagalah Allah, maka kau akan melihat Dia berada di hadapanmu(menjagamu ), sekiranya kau hendak meminta sesuatu, mintalah kepada Allah, dan sekiranya kau hendak meminta bantuan, mintalah bantuan Allah…” Hadith riwayat Tirmidzi, Hadith 19 dari Hadith 40 riwayat An-Nawawi.

Seka air matamu. Gerakkan dirimu.

Sungguh, yang paling memahamimu adalah Dia.

Selainnya tiada.

Penutup: Seka air matamu pejuang

Sudahlah. Hentikan tangismu.

Bersihkan kembali niatmu. Bergerak ke arahNya. Bukan bergerak ke arah selainNya. Dia yang hendak menilai, dan memberikanmu segala. Dia yang bersamamu dan memahamimu setiap ketika.

Jangan menangis ya?

Manusia bukannya memahamimu. Letih sahaja kau merajuk.

Jangan risau. Pengorbananmu berbalas. Rajukmu didengar.

Tidakkah kau merasa, Dia sedang memujukmu kala kau lara?

Tersenyumlah. Bangun.

Teruskan perjuangan.

Selesaikan tanggungjawabmu kepada sekalian insan.

Manakala mereka kepadamu, serahkan kepadaNya untuk diuruskan.

Seka air matamu wahai pejuang. Bukan kau bergerak dengan hitungan manusia. Bukan kau hidup untuk memenuhi kehendak mereka!