Monday, November 22, 2010

JUBAH UNTUK IBU...


JUBAH UNTUK IBU

"Apa nak jadi dengan kau ni Along? Bergaduh! Bergaduh! Bergaduh! Kenapa kau degil sangat ni? Tak boleh ke kau buat sesuatu yang baik, yang tak menyusahkan aku?”, marah ibu. Along hanya membungkam. Tidak menjawab sepatah apapun. “Kau tu dah besar Along. Masuk kali ni dah dua kali kau ulang ambil SPM, tapi kau asyik buat hal di sekolah. Cuba la kau ikut macam Angah dengan Alang tu.. Kenapa kau susah sangat nak dengar nasihat orang hah?”, leter ibu lagi.

Suaranya kali ini sedikit sebak bercampur marah. Along terus membatukan diri. Tiada sepatah kata pun yang keluar dari mulutnya. Seketika dia melihat si ibu berlalu pergi dan kembali semula dengan rotan di tangannya. Kali ini darah Along mula menderau. Dia berdoa dalam hati agar ibu tidak memukulnya lagi seperti selalu. “Sekarang kau cakap, kenapa kau bergaduh tadi? Kenapa kau pukul anak pengetua tu? Cakap Along, cakap!” Jerkah ibu. Along semakin berdebar-debar namun dia tidak dapat berkata-kata. Suaranya bagai tersekat di kerongkong. Malah, dia juga tidak tahu bagaimana hendak menceritakan hal sebenar. Si ibu semakin bengang. “ Jadi betul la kau yang mulakan pergaduhan ye!? Nanti kau, suka sangat cari penyakitkan, sekarang nah, rasakan!” Si ibu merotan Along berkali-kali dan berkali-kali jugaklah Along menjerit kesakitan.

“Sakit bu…sakit….maafkan Along bu, Along janji tak buat lagi….Bu, jangan pukul bu…sakit bu…” Along meraung meminta belas si ibu agar tidak merotannya lagi. “Tau sakit ye, kau bergaduh kat sekolah tak rasa sakit?” Balas ibu lagi. Kali ini semakin kuat pukulan si ibu menyirat tubuh Along yang kurus itu. “Bu…ampunkan Along bu…bukan Along yang mulakan…bukan Along….bu, sakit bu..!!”, rayu Along dengan suara yang tersekat-sekat menahan pedih. Along memaut kaki si ibu. Berkali-kali dia memohon maaf daripada ibunya namun siratan rotan tetap mengenai tubuhnya. Along hanya mampu berdoa. Dia tidak berdaya lagi menahan tangisnya. Tangis bukan kerana sakitnya dirotan, tapi kerana memikirkan tidak jemukah si ibu merotannya setiap hari. Setelah hatinya puas, si ibu mula berhenti merotan Along. Tangan Along yang masih memaut kakinya itu di tepis kasar. Along menatap mata ibu. Ada manik-manik kaca yang bersinar di kelopak mata si ibu. Along memandang dengan sayu. Hatinya sedih kerana telah membuatkan ibunya menangis lagi kerananya.

Malam itu, Along berjaga sepanjang malam. Entah mengapa matanya tidak dapat dilelapkan. Dia asyik teringatkan peristiwa dirotan ibu petang tadi. Begitulah yang berlaku apabila ibu marahkannya. Tapi kali ini marah ibu sangat memuncak. Mungkin kerana dia menumbuk anak pengetua sewaktu di sekolah tadi menyebabkan pengetua hilang sabar dan memanggil ibunya ke sekolah untuk membuat aduan kesekian kalinya. Sewaktu di bilik pengetua, Along sempat menjeling ibu di sebelah.

Namun, dia tidak diberi kesempatan untuk bersuara. Malah, semua kesalahan itu di dilemparkan kepadanya seorang. Si Malik anak pengetua itu bebas seolah-olah sedikit pun tidak bersalah dalam hal ini. Along mengesat sisa-sisa air mata yang masih bertakung di kelopak matanya. Dia berlalu ke meja tulis mencapai minyak sapu lalu disapukan pada bekas luka yang berbirat di tubuhnya dek rotanan ibu tadi. Perlahan-lahan dia menyapu ubat namun masih tetap terasa pedihnya. Walaupun sudah biasa dirotan, namun tidak seteruk kali ini. Along merebahkan badannya. Dia cuba memejamkan mata namun masih tidak mahu lelap. Seketika wajah ibu menjelma diruang ingatannya. Wajah ibu suatu ketika dahulu sangat mendamaikan pada pandangan matanya. Tetapi, sejak dia gagal dalam SPM, kedamaian itu semakin pudar dan hanya kelihatan biasa dan kebencian di wajah tua itu.

Apa yang dibuat serba tidak kena pada mata ibu. Along sedar, dia telah mengecewakan hati ibu dahulu kerana mendapat keputusan yang corot dalam SPM. Tetapi Along tidak pernah ambil hati dengan sikap ibu walau adakalanya kata-kata orang tua itu menyakiti hatinya. Along sayang pada ibu. Dialah satu-satunya ibu yang Along ada walaupun kasih ibu tidak semekar dahulu lagi. Along mahu meminta maaf. Dia tidak mahu menjadi anak derhaka. Fikirannya terlalu cacamarba, dan perasaannya pula semakin resah gelisah. Akhirnya, dalam kelelahan melayani perasaan, Along terlelap juga.

Seminggu selepas peristiwa itu, si ibu masih tidak mahu bercakap dengannya. Jika ditanya, hanya sepatah dijawab ibu. Itupun acuh tidak acuh sahaja. Pulang dari sekolah, Along terus menuju ke dapur. Dia mencangak mencari ibu kalau-kalau orang kesayangannya itu ada di situ. Along tersenyum memandang ibu yang terbongkok-bongkok mengambil sudu di bawah para dan kemudian mencacap makanan yang sedang dimasak itu. Dia nekad mahu menolong. Mudah-mudahan usahanya kali ini berjaya mengambil hati ibu. Namun, belum sempat dia melangkah ke dapur, adik perempuannya yang baru pulang daripada mengaji terus meluru ke arah ibu. Along terperanjat dan cuba berselindung di sebalik pintu sambil memerhatikan mereka.

“ Ibu...ibu masak apa ni? Banyaknya lauk, ibu nak buat kenduri ye!?” Tanya Atih kehairanan. Dia tidak pernah melihat ibunya memasak makanan yang pelbagai jenis seperti itu. Semuanya enak-enak belaka. Si ibu yang lincah menghiris sayur hanya tersenyum melihat keletah anak bongsunya itu. Sementara Along disebalik pintu terus memerhatikan mereka sambil memasang telinganya. “Ibu, Atih nak rasa ayam ni satu boleh?” “ Eh jangan, nanti dulu... Ibu tau Atih lapar, tapi tunggulah Kak Ngah dengan Alang balik dulu. Nanti kita makan sekali. Pergi naik atas mandi dan tukar baju dulu ye!”, si ibu bersuara lembut. Along menarik nafas panjang dan melepaskannya perlahan. ‘anak-anak kesayangan ibu nak balik rupanya…’ bisik hati kecil Along.

“Kak Ngah dengan Alang nak balik ke ibu?”, soalnya lagi masih belum berganjak dari dapur. Si ibu mengangguk sambil tersenyum. Di wajahnya jelas menampakkan kebahagiaan. “Oooo patutlah ibu masak lauk banyak-banyak. Mmm bu, tapi Atih pelik la. Kenapa bila Along balik, ibu tak masak macam ni pun?”. Along terkejut mendengar soalan Atih. Namun dia ingin sekali tahu apa jawapan dari ibunya. “Along kan hari-hari balik rumah? Kak Ngah dengan Alang lain, diorang kan duduk asrama, balik pun sebulan sekali ja!”, terang si ibu. “Tapi, ibu tak penah masak lauk macam ni dekat Along pun..”, soal Atih lagi. Dahinya sedikit berkerut dek kehairanan.

Along mula terasa sebak. Dia mengakui kebenaran kata-kata adiknya itu namun dia tidak mahu ada perasaan dendam atau marah walau secalit pun pada ibu yang sangat disayanginya. “Dah tu, pergi mandi cepat. Kejap lagi kita pergi ambil Kak Ngah dengan Alang dekat stesen bas.” , arah ibu. Dia tidak mahu Atih mengganggu kerja-kerjanya di dapur dengan menyoal yang bukan-bukan. Malah ibu juga tidak senang jika Atih terus bercakap tentang Along. Pada ibu, Along anak yang derhaka yang selalu menyakiti hatinya. Apa yang dikata tidak pernah didengarnya. Selalu pula membuat hal di sekolah mahupun di rumah. Disebabkan itulah ibu semakin hilang perhatian pada Along dek kerana marah dan kecewanya.

Selepas ibu dan Atih keluar, Along juga turut keluar. Dia menuju ke Pusat Bandar sambil jalan-jalan buat menghilangkan tekanannya. Tiba di satu kedai, kakinya tiba-tiba berhenti melangkah. Matanya terpaku pada sepasang jubah putih berbunga ungu yang di lengkapi dengan tudung bermanik. ‘Cantiknya, kalau ibu pakai mesti lawa ni….’ Dia bermonolog sendiri. Along melangkah masuk ke dalam kedai itu. Sedang dia membelek-belek jubah itu, bahunya tiba-tiba disentuh seseorang. Dia segera menoleh.

Rupa-rupanya itu Fariz, sahabatnya. “La…kau ke, apa kau buat kat sini?”, tanya Along ingin tahu sambil bersalaman dengan Fariz. “Aku tolong jaga butik kakak aku. Kau pulak buat apa kat sini?”, soalnya pula. “Aku tak de buat apa-apa, cuma nak tengok-tengok baju ni. Aku ingat nak kasi mak aku!”, jelas Along jujur. “waa…bagus la kau ni Azam. Kalau kau nak beli aku bagi less 50%. Macammana?” Terlopong mulut Along mendengar tawaran Fariz itu.. “Betul ke ni Riz? Nanti marah kakak kau!”, Along meminta kepastian. “Untuk kawan baik aku, kakak aku mesti bagi punya!”, balas Fariz meyakinkannya. “Tapi aku kena beli minggu depan la.. Aku tak cukup duit sekarang ni.” Cerita Along agak keseganan.

Fariz hanya menepuk mahunya sambil tersenyum. “Kau ambik dulu, lepas tu kau bayar sikit-sikit.” Kata Fariz . Along hanya menggelengkan kepala tanda tidak setuju. Dia tidak mahu berhutang begitu. Jika ibunya tahu, mesti dia dimarahi silap-silap dipukul lagi. “Dekat kau ada berapa ringgit sekarang ni?”, soal Fariz yang benar-benar ingin membantu sahabatnya itu. Along menyeluk saku seluarnya dan mengeluarkan dompet berwarna hitam yang semakin lusuh itu. “Tak sampai sepuluh ringgit pun Riz, tak pe lah, aku datang beli minggu depan. Kau jangan jual dulu baju ni tau!”, pesan Along bersungguh-sungguh. Fariz hanya mengangguk senyum.

Hari semakin lewat. Jarum pendek sudah melangkaui nombor tujuh. Setelah tiba, kelihatan Angah dan Alang sudah berada di dalam rumah. Mereka sedang rancak berbual dengan ibu di ruang tamu. Dia menoleh ke arah mereka seketika kemudian menuju ke dapur. Perutnya terasa lapar sekali kerana sejak pulang dari sekolah petang tadi dia belum makan lagi. Penutup makanan diselak. Syukur masih ada sisa lauk-pauk yang ibu masak tadi bersama sepinggan nasi di atas meja. Tanpa berlengah dia terus makan sambil ditemani Si Tomei, kucing kesayangan arwah ayahnya.

“Baru nak balik waktu ni? Buat hal apa lagi kat luar tu?”, soalan ibu yang bernada sindir itu tiba-tiba membantutkannya daripada menghabiskan sisa makanan di dalam pinggan. “Kenapa tak makan kat luar ja? Tau pulak, bila lapar nak balik rumah!”, leter ibu lagi. Along hanya diam.. Dia terus berusaha mengukir senyum dan membuat muka selamber seperti tidak ada apa-apa yang berlaku. Tiba-tiba Angah dan Alang menghampirinya di meja makan. Mereka berdiri di sisi ibu yang masih memandang ke arahnya seperti tidak berpuas hati. “Along ni teruk tau. Suka buat ibu susah hati.

Kerana Along, ibu kena marah dengan pengetua tu.” Marah Angah, adik perempuannya yang sedang belajar di MRSM. Along mendiamkan diri. Diikutkan hati, mahu saja dia menjawab kata-kata adiknya itu tetapi melihat kelibat ibu yang masih di situ, dia mengambil jalan untuk membisu sahaja. “Along! Kalau tak suka belajar, berhenti je la. Buat je kerja lain yang berfaedah daripada menghabiskan duit ibu", sampuk Alang, adik lelakinya yang menuntut di sekolah berasrama penuh. Kali ini kesabarannya benar-benar tercabar. Hatinya semakin terluka melihat sikap mereka semua. Dia tahu, pasti ibu mengadu pada mereka. Along mengangkat mukanya memandang wajah ibu. Wajah tua si ibu masam mencuka. Along tidak tahan lagi. Dia segera mencuci tangan dan meluru ke biliknya.

Perasaannya jadi kacau. Fikirannya bercelaru. Hatinya pula jadi tidak keruan memikirkan kata-kata mereka. Along sedar, kalau dia menjawab, pasti ibu akan semakin membencinya. Along nekad, esok pagi-pagi, dia akan tinggalkan rumah. Dia akan mencari kerja di Bandar. Kebetulan cuti sekolah selama seminggu bermula esok. Seperti yang dinekadkan, pagi itu selesai solat subuh, Along terus bersiap-siap dengan membawa beg sekolah berisi pakaian, Along keluar daripada rumah tanpa ucapan selamat. Dia sekadar menyelitkan nota buat si ibu menyatakan bahawa dia mengikuti program sekolah berkhemah di hutan selama seminggu.

Niatnya sekadar mahu mencari ketenangan selama beberapa hari justeru dia terpaksa berbohong agar ibu tidak bimbang dengan tindakannya itu. Along menunggang motorsikalnya terus ke Pusat Bandar untuk mencari pekerjaan. Nasib menyebelahinya, tengah hari itu, dia diterima bekerja dengan Abang Joe sebagai pembantu di bengkel membaiki motorsikal dengan upah lima belas ringgit sehari, dia sudah rasa bersyukur dan gembira. Gembira kerana tidak lama lagi, dia dapat membeli jubah untuk ibu. Hari ini hari ke empat Along keluar daripada rumah. Si ibu sedikit gelisah memikirkan apa yang dilakukan Along di luar. Dia juga berasa agak rindu dengan Along. Entah mengapa hati keibuannya agak tersentuh setiap kali terpandang bilik Along. Tetapi kerinduan dan kerisauan itu terubat apabila melihat gurau senda anak-anaknya yang lain.

Seperti selalu, Along bekerja keras membantu Abang Joe di bengkelnya. Sikap Abang Joe yang baik dan kelakar itu sedikit sebanyak mengubat hatinya yang luka. Abang Joe baik. Dia banyak membantu Along antaranya menumpangkan Along di rumahnya dengan percuma. “Azam, kalau aku tanya kau jangan marah k!”, soal Abang Joe tiba-tiba sewaktu mereka menikmati nasi bungkus tengah hari itu. “Macam serius jer bunyinya Abang Joe?” Along kehairanan. “Sebenarnya, kau lari dari rumah kan ?”

Along tersedak mendengar soalan itu. Nasi yang disuap ke dalam mulut tersembur keluar. Matanya juga kemerah-merahan menahan sedakan. Melihat keadaan Along itu, Abang Joe segera menghulurkan air. “Kenapa lari dari rumah? Bergaduh dengan parents?” Tanya Abang Joe lagi cuba menduga. Soalan Abang Joe itu benar-benar membuatkan hati Along sebak. Along mendiamkan diri. Dia terus menyuap nasi ke dalam mulut dan mengunyah perlahan. Dia cuba menundukkan mukanya cuba menahan perasaan sedih. “Azam, kau ada cita-cita tak…ataupun impian ker…?” Abang Joe mengubah topik setelah melihat reaksi Along yang kurang selesa dengan soalannya tadi. “ Ada ” jawab Along pendek.

“Kau nak jadi apa besar nanti? Jurutera? Doktor? Cikgu? Pemain bola? Mekanik macam aku…atau….” Along menggeleng-gelengka n kepala. “semua tak…Cuma satu je, saya nak mati dalam pangkuan ibu saya.” Jawab Along disusuli ketawanya. Abang Joe melemparkan tulang ayam ke arah Along yang tidak serius menjawab soalannya itu. “ Ala , gurau ja la Abang Joe. Sebenarnya….saya nak bawa ibu saya ke Mekah dan…saya….saya nak jadi anak yang soleh!”. Perlahan sahaja suaranya namun masih jelas didengari telinga Abang Joe. Abang Joe tersenyum mendengar jawapannya. Dia bersyukur di dalam hati kerana mengenali seorang anak yang begitu baik. Dia sendiri sudah bertahun-tahun membuka bengkel itu namun belum pernah ada cita-cita mahu menghantar ibu ke Mekah..

Setelah tamat waktu rehat, mereka menyambung kerja masing-masing. Tidak seperti selalu, petang itu Along kelihatan banyak berfikir. Mungkin terkesan dengan soalan Abang Joe sewaktu makan tadi. “Abang Joe, hari ni, saya nak balik rumah ...terima kasih banyak kerana jaga saya beberapa hari ni”, ucap Along sewaktu selesai menutup pintu bengkel. Abang Joe yang sedang mencuci tangannya hanya mengangguk. Hatinya gembira kerana akhirnya anak muda itu mahu pulang ke pangkuan keluarga. Sebelum berlalu, Along memeluk lelaki bertubuh sasa itu.

Ini menyebabkan Abang Joe terasa agak sebak. “Abang Joe, jaga diri baik-baik. Barang-barang yang saya tinggal kat rumah Abang Joe tu, saya hadiahkan untuk Abang Joe.” Kata Along lagi. “Tapi, kau kan boleh datang bila-bila yang kau suka ke rumah aku!?”, soal Abang Joe. Dia risau kalau-kalau Along menyalah anggap tentang soalannya tadi. Along hanya senyum memandangnya. “Tak apa, saya bagi kat Abang Joe. Abang Joe, terima kasih banyak ye! Saya rasa tak mampu nak balas budi baik abang.. Tapi, saya doakan perniagaan abang ni semakin maju.” Balasnya dengan tenang. Sekali lagi Abang Joe memeluknya bagai seorang abang memeluk adiknya yang akan pergi jauh.

Berbekalkan upahnya, Along segera menuju ke butik kakak Fariz untuk membeli jubah yang diidamkannya itu. Setibanya di sana , tanpa berlengah dia terus ke tempat di mana baju itu disangkut. “ Hey Azam, mana kau pergi? Hari tu mak kau ada tanya aku pasal kau. Kau lari dari rumah ke?”, soal Fariz setelah menyedari kedatangan sahabatnya itu. Along hanya tersengeh menampakkan giginya. “Zam, mak kau marah kau lagi ke? Kenapa kau tak bagitau hal sebenar pasal kes kau tumbuk si Malik tu?” “Tak pe lah, perkara dah berlalu….lagipun, aku tak nak ibu aku terasa hati kalau dia dengar tentang perkara ni", terang Along dengan tenang.

“Kau jadi mangsa. Tengok, kalau kau tak bagitau, mak kau ingat kau yang salah", kata Fariz lagi. “Tak apa lah Riz, aku tak nak ibu aku sedih. Lagipun aku tak kisah.” “Zam..kau ni…..” “Aku ok, lagipun aku sayang dekat ibu aku. Aku tak nak dia sedih dan ingat kisah lama tu.” Jelas Along memotong kata-kata si sahabat yang masih tidak berpuas hati itu. “Aku nak beli jubah ni Riz. Kau tolong balutkan ek, jangan lupa lekat kad ni sekali, k!”, pinta Along sambil menyerahkan sekeping kad berwarna merah jambu. “No problem…tapi, mana kau dapat duit? Kau kerja ke?” , soal Fariz ingin tahu. “Aku kerja kat bengkel Abang Joe. Jadi pembantu dia", terang Along. “Abang Joe mana ni?” “Yang buka bengkel motor kat Jalan Selasih sebelah kedai makan pakcik kantin kita tu!”, jelas Along dengan panjang lebar. Fariz mengangguk . “Azam, kau nak bagi hadiah ni kat mak kau bila?” “Hari ni la…” balas Along. “Ooo hari lahir ibu kau hari ni ek?” “Bukan, minggu depan…” “Habis?. Kenapa kau tak tunggu minggu depan je?”, soal Fariz lagi. “Aku rasa hari ni je yang yang sempat untuk aku bagi hadiah ni. Lagipun, aku harap lepas ni ibu aku tak marah aku lagi.” Jawabnya sambil mengukir senyum.

Along keluar daripada kedai. Kelihatan hujan mulai turun. Namun Along tidak sabar menunggu untuk segera menyerahkan hadiah itu untuk ibu. Sambil menunggang, Along membayangkan wajah ibu yang sedang tersenyum menerima hadiahnya itu. Motosikalnya sudah membelok ke Jalan Nuri II. Tiba di simpang hadapan lorong masuk ke rumahnya, sebuah kereta wira yang cuba mengelak daripada melanggar seekor kucing hilang kawalan dan terus merempuh Along dari depan yang tidak sempat mengelak.

Akibat perlanggaran yang kuat itu, Along terpelanting ke tengah jalan dan mengalami hentakan yang kuat di kepala dan belakangnya. Topi keledar yang dipakai mengalami retakan dan tercabut daripada kepalanya, Along membuka matanya perlahan-lahan dan terus mencari hadiah untuk si ibu dan dengan sisa kudrat yang ada, dia cuba mencapai hadiah yang tercampak berhampirannya itu. Dia menggenggam kuat cebisan kain dan kad yang terburai dari kotak itu. Darah semakin membuak-buak keluar dari hidungnya. Kepalanya juga terasa sangat berat, pandangannya berpinar-pinar dan nafasnya semakin tersekat-sekat. Dalam keparahan itu, Along melihat kelibat orang–orang yang sangat dikenalinya sedang berlari ke arahnya. Serta merta tubuhnya terus dirangkul seorang wanita. Dia tahu, wanita itu adalah ibunya. Terasa bahagia sekali apabila dahinya dikucup saat itu. Along gembira. Itu kucupan daripada ibunya. Dia juga dapat mendengar suara Angah, Alang dan Atih memanggil-manggil namanya. Namun tiada suara yang keluar dari kerongkongnya saat itu. Along semakin lemah. Namun, dia kuatkan semangat dan cuba menghulurkan jubah dan kad yang masih digenggamannya itu.


“Ha..hadiah….untuk….ibu………” ucapnya sambil berusaha mengukir senyuman. Senyuman terakhir buat ibu yang sangat dicintainya. Si ibu begitu sebak dan sedih. Si anak dipeluknya sambil dicium berkali-kali. Air matanya merembes keluar bagai tidak dapat ditahan lagi. Pandangan Along semakin kelam. Sebelum matanya tertutup rapat, terasa ada air hangat yang menitik ke wajahnya. Akhirnya, Along terkulai dalam pangkuan ibu dan dia pergi untuk selama-lamanya.

Selesai upacara pengebumian, si ibu terus duduk di sisi kubur Along bersama Angah, Alang dan Atih. Dengan lemah, wanita itu mengeluarkan bungkusan yang hampir relai dari beg tangannya. Sekeping kad berwarna merah jambu bertompok darah yang kering dibukanya lalu dibaca.

Buat ibu yang sangat dikasihi,

Ampunkanlah salah silap along selama ini. Andai along melukakan hati ibu, along pinta sejuta kemaafan. Terimalah maaf along bu.. Along janji tak kan membuatkan ibu marah lagi.

Ibu, Along sayang ibu selama-lamanya. Selamat hari lahir ibu… dan terimalah hadiah ini…

UNTUKMU IBU!



Kad itu dilipat dan dicium. Air mata yang bermanik mula berjurai membasahi pipi. Begitu juga perasaan yang dirasai Angah, Alang dan Atih. Masing-masing berasa pilu dan sedih dengan pemergian seorang abang yang selama ini disisihkan. Sedang melayani perasaan masing-masing, Fariz tiba-tiba muncul. Dia terus mendekati wanita tua itu lalu mencurahkan segala apa yang dipendamnya selama ini.

“Makcik, ampunkan segala kesalahan Azam. Azam tak bersalah langsung dalam kes pergaduhan tu makcik. Sebenarnya, waktu Azam dan saya sibuk menyiapkan lukisan, Malik datang dekat kami. Dia sengaja cari pasal dengan Azam dengan menumpahkan warna air dekat lukisan Azam. Lepas tu, dia ejek-ejek Azam. Dia cakap Azam anak pembunuh. Bapa Azam seorang pembunuh dan … dia jugak cakap, ibunya seorang perempuan gila…” cerita Fariz dengan nada sebak. Si ibu terkejut mendengarnya. Terbayang di ruang matanya pada ketika dia merotan Along kerana kesalahan menumbuk Malik. “Tapi, kenapa arwah tidak ceritakan pada makcik Fariz?” Soalnya dengan sedu sedan. “Sebab…..dia tak mahu makcik sedih dan teringat kembali peristiwa dulu. Dia cakap, dia tak nak makcik jatuh sakit lagi, dia tak nak mengambil semua ketenangan yang makcik ada sekarang…walaupun dia disalahkan, dia terima. Tapi dia tak sanggup tengok makcik dimasukkan ke hospital sakit jiwa semula....” Terang Fariz lagi. Dia berasa puas kerana dapat menyatakan kebenaran bagi pihak sahabatnya itu.

Si ibu terdiam mendengar penjelasan Fariz. Terasa seluruh anggota badannya menjadi Lemah. Berbagai perasaan mencengkam hatinya. Sungguh hatinya terasa sangat pilu dan terharu dengan pengorbanan si anak yang selama ini dianggap derhaka.

Saturday, September 4, 2010

MENCARI...BUKAN MENANTI LAILATUL QADAR


Setelah begitu resah, bimbang dan sedih atas kerosakan kaumnya, Rasulullah SAW pergi menyendiri (bertahannuth) di gua Hira’. Baginda nekad. Tidak mahu “kotoran” jahiliah hinggap pada hati dan dirinya. Hatinya meronta-meronta inginkan kebaikan buat kaumnya, tetapi apa kan daya, baginda tidak punya “senjata” dan “penawar” untuk menghadapi dan mengubatinya.

Bertahun-tahun, baginda di situ. Menyendiri, terasing seketika, untuk tidak terjebak dalam kejahilan dan kemusyrikan Arab Jahiliah. Bukan mengalah, tetapi berundur seketika mengatur langkah. Walaupun belum nampak cara tetapi kemahuan sudah ada. Hatinya sebagai wadah itu sentiasa menganga untuk mendapat pimpinan dan bimbingan.

Dan tiba-tiba pada satu malam yang penuh barakah, cahaya dan petunjuk, turunlah malaikat Jibrail membawa wahyu yang pertama. Saat itulah, baginda mula mendapat kekuatan, tenaga dan dorongan yang sangat luar biasa. Segala yang dinanti telah tiba. Segala yang “kosong” telah terisi.

Baginda menjadi Rasul sejak itu… mula dibebankan misi yang amat besar yakni berdakwah, mendidik dan memimpin kaumnya menuju Allah. Kembali ke fitrah. Malam yang bersejarah itu dikenali sebagai malam Al Qadar!

Mulai saat itu, selamat tinggal Hira’. Tidak ada pengasingan diri lagi selepas itu. “Rahib” sudah bertukar menjadi mujahid. Cahaya yang bermula dari dalam gua itu terlalu hebat, terlalu terang… bukan itu gelanggangnya, tetapi semesta alam. Roh iqra’ yang hebat itu disusuli kemudiannya oleh gerak Al Mudathir, lalu baginda pun menguak “selimut” uzlahnya lalu dibesarkan Tuhannya dengan sinar akidah di relung samar Jahiliah.

Apakah malam Al Qadar 1431 H ini akan ditunggu oleh hati seputih Rasulullah saw? Atau hanya diintai dan diramal oleh kebanyakan umat dengan hati yang kotor dan nafsu liar. Apakah al Qadar akan sudi bertamu di wadah hati yang begitu? Padahal hati Rasululah ketika menantinya sudah dikosongkan demi bertamu sebuah hidayah? Berapa lamakah kita telah membenci kemungkaran seperti Rasul membencinya hingga tiba saatnya baginda layak menemui malam yang agung dan hebat itu?

Apabila bercakap tentang Lailatul Qadar, terdapat berbagai-bagai pendapat tentang tanda-tanda berlakunya malam tersebut. Ada yang mengatakan apabila berlaku Lailatul Qadar, semua pokok menunduk rukuk dan semua sungai membeku dalam kadar waktu yang singkat.

Ada pula keterangan yang mengatakan cuaca pada siang hari menjadi tidak terlalu panas dan tidak terlalu sejuk bahana Lailatul Qadar pada malamnya. Pendek kata, ada berbagai-bagai pandangan dan tanggapan. Apakah semuanya benar? Wallahua’lam. Pada hal di dalam Al-Quran atau hadis-hadis Rasulullah saw malam Al Qadar masih kekal tersembunyi dan misteri untuk ditentukan secara pasti.

Terdapat sikap sesetengah kalangan yang suka menunggu-nunggu tanda-tanda berlaku Lailatul Qadar untuk beribadah semaksima mungkin. Hanya pada malam yang dimaksudkan itu! Apakah cara ini betul? Sedangkan, Islam tidak mengajar demikian. Memburu satu malam bernama Al Qadar memerlukan ribuan malam sebelumnya yang dipenuhi dengan aktiviti dan usaha membersihkan hati secara konsisten.

Ia bagaikan atlet 100 meter yang berlari beribu-ribu kilometer dalam tempoh beribu-ribu jam sebagai persediaannya untuk menghadapi hari perlumbaan yang hanya mengambil masa tidak sampai 1 minit dengan jarak 100 meter.

Malam Al Qadar itu umpama sebuah “kapal terbang” yang memerlukan landasan yang selamat dan cukup panjang untuk mendarat. Jika landasannya pendek dan terhalang, kapal terbang tidak akan mendarat. Landasan Lailatul Qadar ialah hati yang bersih. Mana mungkin malaikat yang bersih dan suci itu boleh berdamping dengan orang yang hatinya masih kotor dengan sifat mazmumah apatah lagi kalau ada saki-baki syirik? Dan mana mungkin hati yang kotor dapat dibersihkan hanya dalam jangka masa satu malam?

Hati mesti dibersihkan sejak akil baligh hinggalah akhir hayat. Bersihnya hati itu, mencerahkan peluang kita untuk bertemu malam Al Qadar. Sebaliknya, jika hati dibiarkan kotor, dan hanya berangan-angan untuk bertemu dengan malam itu dengan “tekaan” dan “ramalan” sahaja, insya-Allah, kita tidak akan dapat menemuinya.

Allah swt tidak memberitahu kita rupa bentuk atau tanda-tanda Lailatul Qadar. Kita juga tidak diberitahu bilakah masanya malam itu? Namun apa yang Allah swt beritahu kita dalam surah Al-Qadr ialah tentang keutamaan Lailatul Qadar. “Malam kemuliaan itu adalah lebih baik daripada seribu bulan.” Apakah maksud Allah swt dengan ungkapan “lebih baik daripada seribu bulan?”

Kita harus faham bahawa surah berkenaan Lailatul Qadar sebenarnya membicarakan tentang penurunan Al-Quran. Malam diturunkan Al-Quran itu disebut Lailatul Qadar. Walau pun ia berlaku hanya satu malam sahaja, tetapi satu malam itu jauh lebih baik daripada 1000 bulan yang dipenuhi dengan kegelapan syirik, kesesatan dan sebagainya.

Menurut pandangan kebanyakan ulama tafsir, angka 1000 bulan ini tidak harus diertikan dengan bilangan antara 999 dan 1001. Sebaliknya ia dinisbahkan kepada nilai atau keutamaannya malam itu berbanding dengan bulan-bulan yang lain. Surah Al-Qadr juga membicarakan tentang para malaikat yang turun disertai Jibrail a.s dengan izin Allah swt dengan membawa urusan. Jibrail turun menyampaikan wahyu yang terakhir kepada Nabi saw. Ini bermakna baginda telah mendapat Lailatul Qadar.

Namun kini, apakah urusan para malaikat turun ke bumi pada setiap bulan Ramadhan setelah kewafatan baginda?

Para malaikat adalah makhluk yang suci yang diutuskan oleh Allah Yang Maha Suci. Mereka sentiasa turun setiap malam, khususnya pada malam penghujung Ramadan. Ini sudah banyak dijelaskan dalam hadis-hadis Nabi saw. Namun begitu, jumlah malaikat yang turun pada setiap malam (yakni di sepertiga malam) tidak seramai pada Lailatul Qadar. Apatah lagi pada malam itu, malaikat yang turun bukanlah malaikat-malaikat yang sembarangan, tetapi yang tinggi “rankingnya” misalnya Jibrail a.s.

Lazimnya malaikat turun untuk membawa amalan manusia misalnya doa-doa, istighfar atau hajat-hajat mereka kepada Allah swt. Namun pada Lailatul Qadar, tugas mereka adalah lebih daripada itu. Menurut pendapat ulama kontemporari, malaikat yang turun bukan sahaja untuk membawa amalan manusia pada malam itu, tetapi turut bertamu dalam hati-hati mereka yang telah mendapat penghormatan daripada Allah swt.

Siapakah mereka yang layak menerima tetamu daripada malaikat yang diutuskan Allah ini? Apa yang pasti, jiwa-jiwa yang kotor sudah tentu tidak layak mendapat kunjungan mereka. Malaikat Jibrail diperintahkan turun bertemu dengan Nabi saw pada Lailatul Qadar. Semenjak malam itu, Jibril a.s sentiasa diutuskan kepada baginda untuk menyampaikan wahyu.

Bermula pada malam itu, apa sahaja yang dilakukan oleh Rasulullah saw semuanya mendapat bimbingan terus dan intim daripada Allah swt. Apa sahaja yang diucapkan oleh baginda semuanya berpandukan wahyu. Ini berbeza dengan keadaan sebelum baginda menjadi nabi. Rasulullah saw terpaksa juga berperang atau berjuang antara keinginan negatif dengan tuntutan fitrahnya. Hanya setelah mendapat Lailatul Qadar, bisikan malaikat dan tuntutan fitrah sentiasa dapat mengalahkan bisikan nafsu dan syaitan.

Oleh itu, sesiapa sahaja yang mendapat Lailatul Qadar, terdapat seorang malaikat yang diizinkan Allah swt menjadi aulia (pelindung, penjaga dan pembimbing) kepada dirinya. Ini bermakna bermula daripada malam itu sehingga hari berikutnya, hidupnya semakin terarah.

Jika sebelum ini bisikan syaitan dan bisikan malaikat sentiasa berperang dalam dirinya, tetapi setelah mendapat Lailatul Qadar, bisikan malaikat dan fitrahlah sentiasa menang. Hidupnya akan berubah menjadi baik. Jika dahulu dia tidak merasa apa-apa jika berbuat dosa, tetapi kini menjadi sensitif dan susah hati mengenangkan dosa. Inilah tandanya orang yang mendapat Lailatul Qadar.

Orang-orang yang layak mendapat Lailatul Qadar termasuk mereka yang istiqamah berpegang teguh kepada aqidah tauhid dan tidak mencampurkannya dengan syirik walau sedikit pun sedari kecil. Mereka ini sentiasa memelihara keimanan khususnya sepanjang bulan Ramadan, bahkan semakin bersemangat terutama pada sepuluh hari terakhir Ramadan.

Mereka inilah orang-orang mendapat tetamu daripada malaikat yang turun pada malam Qadar. Malaikat akan membisikkan sesuatu kepada roh, jiwa dan fitrah mereka sebagaimana firman Allah swt dalam Surah Al- Fussilat ayat 30:
“Janganlah kamu takut, janganlah kamu bersedih.”

Bencana hidup penuh dengan ketakutan dan kesedihan merupakan dua perkara yang sering disebutkan dalam Al-Quran. Namun bagi orang mukmin, Allah swt janjikan bagi mereka tiada ketakutan dan tiada kesedihan atau dalam istilah lain mereka telah mendapat ketenangan.

Allah swt izinkan malaikat menjadi pelindung, pembimbing dan pengawal bagi mereka. Bayangkan apabila hidup sentiasa dikawal oleh malaikat. Jika hendak berbuat sesuatu yang tidak baik sentiasa ada malaikat yang mengingatkan. Oleh itu beruntunglah mereka yang mendapat Lailatul Qadar.

Nilai umur seseorang selepas mendapat Lailatul Qadar adalah lebih baik sekalipun ianya singkat. Katalah ada seorang tua berumur 70 tahun telah mendapat Lailatul Qadar pada malam ini. Bermula pada malam ini, hidupnya menjadi lebih terarah kepada kebaikan. Katakanlah di Luh Mahfuz pula telah tercatat umurnya akan berakhir pada 72 tahun. Jadi nilai umurnya yang dua tahun berbaki lagi itu (yakni setelah mendapat bimbingan malaikat dengan izin Allah) adalah jauh lebih baik daripada 70 tahun hidup sebelumnya!

Sejarah pernah memaparkan kisah Firaun yang sangat membenci Nabi Musa a.s dan ingin memalukannya. Dia pun mengatur satu majlis besar-besaran dihadiri pembesar-pembesar dan rakyat Masir. Ahli-ahli sihir diraja dikumpulkan untuk berlawan dengan Nabi Musa. Namun sihir-sihir diraja itu dapat dikalahkan oleh mukjizat Nabi yang berupa ular besar.

Ular besar itu telah menelan semua ular ahli-ahli sihir itu. Rasa takjub kepada kehebatan mukjizat Nabi menyebabkan ahli-ahli sihir ini sujud kepada Allah. Mengapa mereka terus sujud menyembah Allah? Ahli-ahli sihir ini tahu membezakan yang mana ular sihir dan ular yang betul. Mereka yakin ular besar yang muncul di hadapan mereka bukanlah ular sembarangan atau ciptaan manusia.

Melihat sahaja ahli-ahli sihir telah beriman kepada Allah swt, Firaun menjadi terlalu marah. Firaun mengugut akan menyalib dan mengerat-ngerat badan mereka jika memeluk agama Nabi Musa. Namun ahli-ahli sihir itu teguh pendirian kerana lebih sayangkan iman daripada nyawa mereka sendiri. Akhirnya Firaun menyalib dan mengerat-ngerat tangan mereka dan dibiarkan sehingga mati.

Katakanlah selepas lima hari barulah mereka mati. Jadi nilai umur ahli-ahli sihir selama lima hari dalam keadaan beriman itu adalah lebih baik daripada umur mereka yang sebelumnya penuh dengan kejahatan.

Jadi, mulai bilakah perlu mempersiapkan diri supaya menjadi orang yang layak menerima Lailatul Qadar? Jawapannya ialah sejak kecil lagi. Nabi saw mempersiapkan diri, roh dan jiwanya sebelum menerima wahyu daripada Allah swt sejak daripada kecil. Baginda tidak pernah berbuat dosa pada ketika orang lain banyak berbuat maksiat. Oleh sebab itu baginda digelar Al-Amin (yang terpercaya) sejak sebelum dilantik menjadi rasul lagi.

Enam bulan sebelum Lailatul Qadar, baginda mengasingkan dirinya secara intensif meninggalkan keluarga dan kaumnya sementara waktu untuk menumpukan hati kepada Allah di gua Hira’. Itulah persediaan jiwa nabi sebelum menghadapi Lailatul Qadar.

Bagaimanakah dengan jiwa kita? Mungkinkah ibadah yang kita usahakan selama ini daripada satu Ramadan ke satu Ramadan belum menghasilkan jiwa sempurna atau suci bagi membolehkan didatangi oleh malaikat? Jika tahun ini kita tingkatkan lagi ibadah, seterusnya ditingkatkan tahun demi tahun, tidak mustahil satu ketika nanti kita akan didatangi malaikat pada malam Al Qadar.

Rugilah bagi orang-orang yang hanya menunggu-nunggu tanda-tanda Lailatul Qadar barulah bersiap untuk beribadah sebanyak-banyaknya. Atau hanya memperbanyakkan ibadah pada sepuluh hari terakhir Ramadan dan mengabaikan serta sambil lewa pada 20 malam sebelumnya dan tidak ambil kisah langsung dengan 330 malam di luar Ramadhan. Tidak salah menambah pecutan di sepuluh malam terakhir… tetapi momentumnya perlu bermula lebih awal.

Ibnu Kathir pernah menyatakan dalam kitabnya, ada pendapat ulama yang menyatakan bahawa setiap malam dalam bulan Ramadan ini itu ialah malam Lailatul Qadar. Jadi, lebih selamat jika kita menganggap setiap malam itulah Lailatul Qadar supaya kita berterusan meningkatkan ibadah.

Sekiranya kita tidak mendapat Lailatul Qadar, ibadah yang dilakukan bersungguh-sungguh masih tidak sia-sia. Teringat kata Imam Hasan Al Basri, “jadilah kamu hamba Allah (yang beribadah sepanjang masa, tempat dan suasana), jangan menjadi hamba Ramadhan (yang hanya tekun beribadah di bulan Ramadhan sahaja).

Tegasnya, Lailatul Qadar itu dinanti dan dicari dengan momentum ibadah yang telah dimulakan sejak akil baligh lagi – hati terus terusan dibersihkan, hingga tiba saatnya layak menjadi wadah tempat bertamunya para malaikat. Hingga dengan itu bisikan baik akan sentiasa mengatasi bisikan jahat, dan perangai pun berubah menjadi baik selama-lamanya.

Jadilah hamba yang mencari malam al Qadar, bukan yang hanya menantinya!

Friday, August 13, 2010

Masalah Itu Didikan Allah...



Setiap masalah yang hendak diselesaikan mestilah difokuskan kepada real problem (masalah sebenar) bukan kepada presenting problem (masalah yang zahir). Apabila kita menumpukan kepada real problem ertinya kita sedang berdepan dengan punca masalah yang lebih bersifat dalaman dan ini memaksa kita menyelami soal hati dan perasaan manusia.

Manakala jika kita hanya berlegar-legar di sekitar presenting problem kita hanya terapung di permukaan yakni berdepan dengan akibat sesuatu masalah. Cara kedua ini tidak akan menyelesaikan sesuatu masalah secara tuntas. Mungkin kita berjaya seketika mengubat akibatnya tetapi masalah itu akan berulang lagi kerana punca sebenarnya tidak diatasi. Hendaklah difahami benar-benar maksud saya ini.

Jika kita ingin menyelesaikan sesuatu masalah, terutamanya yang melibatkan soal perhubungan (komunikasi dan interaksi) dengan orang lain kita hendaklah fokuskan langkah-langkah penyelesaiannya kepada ‘lingkungan pengaruh’ kita bukan ‘lingkungan kebimbangan’ kita. Maksud saya, hendaklah kita bertindak pada batas dan keupayaan diri kita sendiri bukan di luar batasan itu.

Hakikatnya, kita hanya mampu mengawal cara berfikir, pertimbangan, keputusan dan tindakan diri kita sendiri bukan fikiran, pertimbangan, keputusan dan tindakan orang lain. Kejayaan mengubah manusia lain bermula dengan kejayaan mengubah diri kita sendiri. Jangan marah kalau orang lain tidak berubah seperti mana kita kehendaki kalau diri kita sendiri juga tidak berubah mengikut apa yang kita kehendaki.

Tegasnya, lihatlah apa yang anda boleh lakukan pada diri sendiri terlebih dahulu untuk menyelesaikan masalah ini kemudian dengan sendirinya pengaruh kita untuk mengubah orang lain akan meningkat.

Untuk berjaya dalam perhubungan sesama manusia kita hendak memahami orang lain terlebih dahulu, barulah orang lain akan memahami kita. ‘First seek to understand than to be understood’ – pertama carilah jalan untuk memahami kemudian barulah kita difahami. Inilah adalah prinsip dalam mana-mana perhubungan. Jika prinsip ini dilanggar, krisis dalam perhubungan akan berlaku. Maksudnya, kita mestilah terlebih dahulu menjadi ‘telinga’ daripada menjadi ‘mulut’.

Dengar, fahami, hayati, simpati dan kalau boleh empati terhadap apa yang selalu diperkatakan oleh orang lain. Jangan terlalu gopoh hendak menyuarakan isi hati, pandangan dan idea kita… nanti kita tidak akan difahami. Tetapi bersabarlah, dengar dahulu apa yang hendak disampaikan oleh orang lain samada yang disuarakan dalam bentuk lisan atau perbuatan. Tidak semestinya mereka benar… tetapi fahamilah kenapa dan mengapa mereka berpendirian begitu.

Jika mereka yang benar, ini adalah peluang kita untuk mengakui kesalahan dan mula membaiki diri sendiri. Oh, rupanya aku yang menjadi punca masalah. Sebaliknya jika tidak, kita mempunyai peluang untuk menyuarakan ‘kebenaran’ kita dengan lebih tenang, matang dan diterima setelah sekian lama anda sabar mendengar. Ingatlah, ‘what you give, you get back’ – kita akan mendapat semula apa yang kita berikan.
Jika kita sanggup sekian lama mendengar pandangan orang lain, pasti cepat atau lambat pintu hati orang lain akan terbuka untuk mendengar pandangan kita. Ah, selama ini dia begitu sabar mendengar segala pandanganku apa salahnya kalau sekarang aku pula mendengar pandangannya, begitulah nanti suara hati mereka terhadap kita. Ingat, mengamalkan prinsip ini tidak akan merugikan kita, kata orang ‘tidak kalah dengan mengalah’ sebab kuasa mendengar lebih kuat dari kuasa bercakap. Mungkin kerana itu agaknya Allah kurniakan kita dua telinga berbanding satu mulut!

Kemudian, lihat masalah dengan peluang mendapat didikan di sebaliknya. Masalah hakikat adalah agenda pembelajaran dan pendidikan yang datang ‘direct’ daripada Allah untuk membangunkan diri kita. Manusia berkembang dan berkemajuan dengan melangkah anak tangga masalah demi masalah dalam hidupnya. Ini ‘syllbuss’ pelajaran yang anda tidak boleh mengelakkan diri.

Jika dicuba juga… kita akan menghadapi ‘sylbuss’ yang sama melalui peristiwa, manusia dan situasi yang lain. Ingat, masalah ialah anak tangga kehidupan. Jika anda merungut, kenapa aku terpaksa melaluinya, anda akan terus melekat di anak tangga itu. Jika kita cuba melompat, kita akan jatuh tersembam. Kata orang, jangan berlari ketika menaiki tangga.

Jadi, selalu sematkan di hati, bahawa orang-orang yang berjaya dalam hidup sebenarnya telah melalui agenda demi agenda yang sarat dengan dalam episod kehidupan mereka. Malangnya, kita selalu melihat apabila mereka telah sampai ke puncak tetapi ketika mereka mendaki di lurah atau tersembam ke lembah… tidak ada siapa yang tahu, apalagi ingin belajar darinya.

Dan ingatlah, ini semua hakikatnya daripada Allah jua. Cuma ia didatangkan melalui perlakuan dan sikap manusia. Sebagai hamba, kita perlu menerimanya… Ini akan memberikan satu kekuatan dalam diri kita. Yakinlah, Allah mendatangkan ujian yang setimpal dengan keupayaan kita. Malangnya, manusia selalu memandang rendah terhadap keupayaannya sendiri.

Sedangkan hakikatnya, pakar-pakar psikologi, motivasi dan pendidikan sepakat mengatakan bahawa manusia lebih kuat daripada apa yang mereka sendiri jangkakan. Cabarannya ialah kebanyakan manusia tidak tahu bagaimana menggunakan sepenuhnya potensi akal, hati dan perasaan mereka untuk mengatasi masalah-masalah seterusnya berjaya dalam hidup.

Ya, “we can’t direct the wind, but we can adjust our sails” – kita tidak dapat mengawal arah haluan angin, tetapi kita mampu mengawal kemudi pelayaran kita. Baiklah, cuba amalkan semua prinsip-prinsip di atas dalam menghadapi masalah kita. Sengaja saya luaskan horizon pemikiran dan ruang jiwa dengan beberapa prinsip penyelesaian masalah supaya kita sama-sama berfikiran dan berjiwa besar dalam menghadapi kehidupan.

Walaupun langkah ini kekadang dilihat lebih bercorak falsafah berbanding aplikasi, tetapi percayalah ia akan menolong anda untuk menghadapi hidup inii secara lebih pro-aktif. Tips-tips ‘direct’ untuk menyelesaikan masalah (seperti yang selalu diberikan) tidak akan dapat dimanfaatkan sepenuhnya jika soal hati dan pemikiran masih sempit dan tertekan. Sebaliknya, jika hati telah tenang, fikiran telah lapang, kita akan jadi lebih kuat, kreatif dan sabar untuk menyelesaikan masalah. Malah, ada kalanya masalah belum pun diselesaikan… tetapi kita rasa seolah-olah telah selesai justeru tekanan dan himpitan masalah itu sudah kurang impaknya akibat jiwa dan fikiran kita yang telah dibangunkan. Benarnya kata pepatah, cita-cita besar akan mengecilkan masalah.

Gunakanlah prinsip ‘ujian dalah satu didikan Tuhan’. Tuhan sedang mendidik manusia melalui manusia. Hakikatnya hidup adalah sebuah sekolah dan orang yang menjadi punca ujian kita adalah guru kita. Ada maksud tersirat yang perlu kita pelajari daripadanya. Hadapilah ujian ini dengan mencari maksud di sebalik takdir Allah ini.

Jangan mengeluh, kenapa manusia lain jadi begitu, begini … itu selamanya akan melekatkan kaki kita pada anak tangga ujian itu. Jangan memberontak, kerana kita tidak dapat mengubah realiti… dan kita terjun dari anak tangga yang anda berada sekarang. Jalan sebaik-baik, terimalah seadanya. Aku tidak akan menunggu hingga semua manusia jadi baik barulah aku menjadi baik. Yang penting aku cuba jadi yang manusia yang baik.

Ingatlah, tangan yang menghulur bunga mawar, akan lebih dahulu harum baunya. Jika kita menghulur kebaikan, kebaikan itu akan pulang semula kepada kita. Walaupun mungkin kebaikan kita tidak akan mengubah orang lain yang tetap bersikap negatif terhadap kita, namun kebaikan itu sebenarnya telah pun menggembirakan, menenangkan diri kita sendiri.

Kita telah menghapuskan dendam, iri hati, marah yang bersarang dalam jiwa kita. Kemaafan akan membuahkan kebaikan… Manakala kebencian akan membuahkan kejahatan. Belajarlah menyayangi, nescaya kita akan semakin jahil tentang kebencian dan permusuhan. Dan inilah maksud didikan Allah ketika menjadikan manusia ujud secara bersama (co-existence) di atas dunia ini. Mungkin hikmahnya, agar manusia belajar sesama manusia untuk merasa kesan didikan-Nya

Thursday, July 29, 2010

Untukmu Yang Bergelar Pejuang.



Pejuang.

Hidupmu dengan cabaran memang kembar yang takkan mampu dipisahkan. Kamu dengan dugaan adalah satu yang takkan mampu dipecahkan.

Maka jangan kamu menangis hiba. Jangan kamu tunduk mencuka.

Memang manusia-manusia tidak akan memahami kamu. Bahkan mereka kan sentiasa membebankanmu.

Maka jangan kamu meminta kepada mereka.

Aku disisimu, hendak menceritakan sesuatu.

Syyyhh… jangan menangis.

Seka air matamu wahai pejuang.


Lumrah pejuang

Apakah kau tahu lumrah pejuang?

Tidak dapat tidak, dua perkara daripadanya tidak akan terpisah.

Cabaran dan pengorbanan.

Kau diminta untuk memahami, tanpa kau perlu difahami. Kau diminta memberi, tanpa kau perlu memberi. Kau menongkah cabaran itu dan ini, tetapi kau tetap perlu mengorbankan itu dan ini. Kau ke mana sahaja wahai pejuang, pergilah ke mana sekalipun, selagi kau berjuang dan menjadi pejuang, kau memang akan menghadapi cabaran, dan kau perlu berkorban.

Kau akan kepenatan, kau akan keletihan, kau akan rasa kelaparan dan kedahagaan. Lorong-lorong cabaran, dan pengorbanan- pengorbanan yang kau lakukan, menghasilkan satu tekanan yang besar walaupun di wajahmu terpampang senyuman.

“…mereka ditimpa dengan kemelaratan, penderitaan dan digoncang(dengan pelbagai cubaan)…” Surah Al-Baqarah ayat 214.

Orang lain tak akan memahami. Dan tiada antara mereka yang mahu memahami.

Lumrah kau di atas jalan perjuangan ini.

Sampai satu tahap kau rasa sendiri. Timbul rasa benci. Tambah rasa sakit hati.

Betapa kau lihat manusia-manusia lain begitu jelek dengan perangai mereka.

Sungguh, mereka meminta kau memahami, tetapi kau langsung tidak difahami mereka.

Kau sedih? Kau rasa sudah mencium limitasi?

Ya, aku memahami. Inilah dia lumrah kau wahai pejuang.

Tetapi jangan fikir engkau terbuang.

Syyyh… jangan menangis. Seka air matamu.

Dia ada untukmu.

Dia

Manusia lain terbatas dalam mengenalimu. Mereka hanya satu beberapa juzu’ kehidupanmu dan berkata ini dan itu. Kau lakukanlah apa sahaja, mereka tetap tidak akan memahamimu. Ya, aku mengerti itu.

Tetapi Dia ini istimewa. Dia tahu segala. Dia faham kau serbi serba. Tahukah kau betapa Dia melimpahkan untuk kau cinta? Dia sentiasa rapat bersama, tidak pernah meminggir walau seketika.

Syyyhhh… jangan menangis. Seka air matamu.

Benar Dia tidak akan berbicara denganmu secara terus. Tetapi pernahkah kau melihat kalamNya yang mampu kau pegang dan baca itu?

“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu(Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya Aku amat dekat…” Surah Al-Baqarah ayat 186.

Dan ketahuilah dikau bahawa utusanNya itu pernah bersabda:

“…sekiranya mereka itu berkumpul untuk memberikan mudarat kepadamu, maka mereka itu tidak akan mampu memudaratkan kamu walau dengan apa pun kecuali dengan apa yang telah ditetapkanNya ke atas kamu” Hadith riwayat Tirmidzi, hadith ke 19 di dalam hadith 40 An-Nawawi.

Seka air matamu.

Dia ada di sisimu. Sangat dekat. Menjagamu. Memahamimu.

“Dan demi sesungguhnya, Kami telah menciptakan manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya. Sedang Kami lebih dekat kepadanya daripada urat nadinya” Surah Qaaf ayat 16.

Aaah… Jangan menangis. Seka air matamu pejuang.

Dia menjagamu. Menjagamu.

Merapatlah

Pejuang, seka air matamu itu.

Dia tidak sekadar bersamamu, bahkan memberikan segala pertolongan yang kau mahu. Pejuang, jangan kau meminta kepada selainNya. Pintalah kepada Dia dan Dia sahaja.

Jangan kau minta manusia memahamimu. Jangan kau minta manusia menghargaimu.

Mereka tidak akan memberikannya sehingga puas hatimu. Kerana mereka dengan hidup mereka, dan mereka bukannya kamu. Mereka juga menagih pemerhatian orang lain dan mengharapkan yang lain menuruti kepuasan mereka. Yang tidak mempunyai apa-apa, memang tak akan mampu memberikan kau apa-apa.

Tetapi Dia punya segalanya.

Dia menawarkanmu sesuatu yang takkan dapat ditawarkan sesiapa.

“Dengan itu Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik di dalam Syurga ‘Adn. Itulah dia kemenangan yang besar.” Surah As-Saff ayat 12.

Maka bersabarlah. Seka air matamu. Pastinya kau akan berjaya.

“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayah-Nya.” Surah Al-Baqarah ayat 155-157.

Dan Dia bukan penipu.

“Dengan kemenangan yang diberi Allah. Ia memberi kemenangan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan Dia lah jua yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani. Demikian dijanjikan Allah. Allah tidak pernah memungkiri janjiNya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).” Surah Ar-Ruum ayat 5-6.

Maka seka air matamu pejuang. Hentikan hinggutan bahumu.

Merapatlah kepadaNya. Sungguh Dia akan membantumu.

“Dan berkatalah Rabb kamu: Berdoalah kepadaKu, nescaya akan Aku makbulkan” Surah Ghaafir ayat 60.

“Sekiranya kamu membantu urusan Allah, maka Allah akan membantu kamu(dalam urusan kamu) dan menguatkan pula kaki-kakimu” Surah Muhammad ayat 7.

“Jagalah Allah, maka Allah akan menjagamu. Jagalah Allah, maka kau akan melihat Dia berada di hadapanmu(menjagamu ), sekiranya kau hendak meminta sesuatu, mintalah kepada Allah, dan sekiranya kau hendak meminta bantuan, mintalah bantuan Allah…” Hadith riwayat Tirmidzi, Hadith 19 dari Hadith 40 riwayat An-Nawawi.

Seka air matamu. Gerakkan dirimu.

Sungguh, yang paling memahamimu adalah Dia.

Selainnya tiada.

Penutup: Seka air matamu pejuang

Sudahlah. Hentikan tangismu.

Bersihkan kembali niatmu. Bergerak ke arahNya. Bukan bergerak ke arah selainNya. Dia yang hendak menilai, dan memberikanmu segala. Dia yang bersamamu dan memahamimu setiap ketika.

Jangan menangis ya?

Manusia bukannya memahamimu. Letih sahaja kau merajuk.

Jangan risau. Pengorbananmu berbalas. Rajukmu didengar.

Tidakkah kau merasa, Dia sedang memujukmu kala kau lara?

Tersenyumlah. Bangun.

Teruskan perjuangan.

Selesaikan tanggungjawabmu kepada sekalian insan.

Manakala mereka kepadamu, serahkan kepadaNya untuk diuruskan.

Seka air matamu wahai pejuang. Bukan kau bergerak dengan hitungan manusia. Bukan kau hidup untuk memenuhi kehendak mereka!

Saturday, June 19, 2010

At-Thariq Ilal Qulub_Abbas As-Sisi




Wasiat Hasan Al-Banna

Saudaraku,
Janganlah engkau putus asa, kerana putus asa bukanlah akhlak seorang muslim.
Ketahuilah bahwa ke-nyataan hari ini adalah mimpi hari kemarin, dan impian hari ini
adalah kenyataan di hari esok. Waktu masih panjang dan hasrat akan terwujudnya
kedamaian masih tertanam dalam jiwa masyarakat kita, meski fenomena-fenomena
kerusakan dan kemaksiatan menghantui mereka. Yang lemah tidak akan lemah
sepanjang hidup-nya dan yang kuat tidak akan selamanya kuat.

Allah swt. berfirman,
"Dan Kami hendak memberi karunia kepada orang-orang yang tertindas di bumi
(Mesir) itu dan hendak menjadikan mereka pemimpin dan menjadikan mereka orangorang
yang mewarisi (bumi), dan akan Kami ivguhkan kedudukan mereka di muka
bumi dan akan Kami perlihatkan kepada Fir'aun dan Haman serta tentaranya apa yang
selalu mereka khawatirkan dan mereka itu,"
(Al-Qashash: 5-6)

Putaran waktu akan memperhhatkan kepada kita peristiwa-peristiwa yang
mengejutkan dan memberikan peluang kepada kita untuk berbuat. Dunia akan melihat
bahwa dakwah kita adalah hidayah, kemenangan, dan kedamaian, yang dapat
menyembuhkan umat dari rasa sakit yang tengah dideritanya. Setelah itu tibalah
giliran kita untuk memimpin dunia, kerana bumi tetap akan berputar dan kejayaan
itu akan kembab kepada kita. Hanya Allah-lah harapan kita satu-satunya.
Bersiap dan berbuatlah, jangan menunggu datangnya esok hari, kerana bisa jadi
engkau tidak bisa berbuat apa-apa di esok hari.

Kita memang harus menunggu putaran waktu itu, tetapi kita tidak boleh berhenti.
Kita harus terus berbuat dan terus melangkah, kerana kita memang tidak mengenal
kata "berhenti" dalam berjihad.
Allah swt. berfirman,
"Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keridhaan) Kami, sungguh
akan.Kami tunjukkan jalan-jalan Kami."
(Al-Ankabut: 69)

Hanya Allah-lah dzat yang Mahaagung, bagi-Nya segala puji.

Tuesday, April 27, 2010

KENYATAAN MEDIA GABUNGAN MAHASISWA ISLAM SEMALAYSIA (GAMIS) BERKAITAN ISU KEMATIAN ADIK AMINULRASYID




KENYATAAN MEDIA GABUNGAN MAHASISWA ISLAM SEMALAYSIA (GAMIS)
BERKAITAN ISU KEMATIAN ADIK AMINULRASYID


Pendahuluan


Rakyat Malaysia telah dikejutkan dengan kes kematian Allahyarham adik Aminulrasyid, 15 tahun, pelajar Sekolah Menegah Seksyen 9, Shah Alam yang telah ditembak di kepala oleh pihak polis. Beberapa media melaporkan bahawa juvana terbabit sebagai suspek ahli kumpulan samun namun dinafikan oleh keluarga Allahyarham. Polis mendakwa kereta yang dipandu oleh Allahyarham cuba merempuh anggota polis peronda dan polis bertindak melepaskan tembakan yang membunuh Aminulrashid.

Namun lain pula gambaran yang diberikan oleh rakan Aminulrashid yang ada bersama Allahyarham dalam kereta semasa kejadian. Dalam laporan polis yang telah dibuat, kawan yang sebaya dengan Allahyarham menegaskan Aminulrashid dalam ketakutan apabila terlanggar kenderaan lain dan memintas kereta peronda berkenaan. Setelah dipintas, anggota peronda terus mengejar dan melepas tembakan yang mengena sasaran. Aminulrashid rebah dalam kereta dengan luka tembakan di belakang kepalanya. Saksi ini melaporkan beliau kemudian di pukul oleh anggota polis sebelum sempat melepaskan diri. Beliau kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Shah Alam.

Menurut Monaliza Mokhtar, Biro Hal Ehwal Murid PIBG Sekolah Menengah Seksyen 7, beberapa media yang menganggap juvana terbabit sebagai suspek kumpulan samun sebagai satu fitnah. Pelbagai persoalan timbul di kalangan masyarakat berkaitan kes ini. Kes ini dilihat boleh mencalarkan imej Polis Di Raja Malaysia (PDRM) sebagai badan yang bertanggungjawab menjaga keselamatan awam.


Pendirian GAMIS :


Justeru, dalam kes ini, GAMIS berpendirian :

1. Pihak polis tidak sepatutnya cuai dalam hal ini. Ada prosedur tertentu yang perlu dilalui oleh pihak polis sebelum menembak walau apapun kesalahan seseorang. GAMIS berpandangan, kes tembakan ini adalah tindakan keterlaluan tambahan pula, kalaupun Allahyarham adik Aminulrasyid bersalah sekalipun, dia tetap juvana kerana masih di bawah umur. Pihak polis sangat teliti dalam beberapa kes yang lain seperti penangkapan mahasiswa yang terlibat dalam pilihan raya tetapi seolah-olah terburu-buru dalam kes seperti ini sedangkan ianya melibatkan keselamatan awam. Kemungkinan ianya turut menyebabkan rakyat Malaysia berasa tidak selamat walaupun mereka tidak melakukan kesalahan.

2. GAMIS ingin mengingatkan kepada pengamal media agar berhati-hati dalam kenyataan media sama ada media cetak atau media elektronik. Hal demikian kerana, sikap terburu-buru media dalam menerbitkan isu mungkin boleh menyinggung perasaan keluarga dan orang lain. Dalam isu ini, pelbagai versi berita yang dihidangkan kepada masyarakat sehinggakan mereka keliru tentang kesahihan berita di samping telah menimbulkan syak wasangka yang tidak baik kepada mangsa dan keluarga. Janganlah hanya kerana inginkan publisiti dan berita panas sehinggakan menimbulkan perkara yang tidak baik dalam masyarakat.

3. GAMIS juga ingin berpesan kepada rakyat Malaysia khususnya agar tidak menerima sesuatu berita dengan mudah. GAMIS amat sedih apabila timbulkan syak wasangka yang tidak baik kepada Allahyarham dan keluarga sehinggakan dijadikan perbincangan termasuklah di internet sama ada melalui forum-forum maya, blog, facebook dan sebagainya. Ada yang menambah-nambah cerita, mengutuk dan menghina Allahyarham dan keluarga. GAMIS berharap, prkara tidak baik seperti ini dihentikan. Sedangkan Rasulullah s.a.w. juga berpesa agar kita kita membangkitkan cerita-cerita tidak baik berkaitan seseorang setelah dia meninggal dunia walaupun dia bukan Muslim, apatah lagi kalau ada tokok tambah cerita dan fitnah yang dilemparkan.

4. GAMIS berharap agar Perdana Menteri serta Menteri Keselamatan Dalam Negeri memandang serius kes ini. GAMIS berharap satu jawatankuasa khas ditubuhkan dengan segera serta menyiasat kes ini seadil-adilnya. Kita sedih dengan beberapa kes sebelum ini yang mengambil masa terlalu lama dalam penyiasatan bahkan masih ada yang belum diselesaikan. Dalam kes Allahyarham Adik Aminulrasyid, siasatan adil dan segera sangat diharapkan kerana telah menimbulkan pelbagai tanda tanya di kalangan masyarakat. Keadilan haruslah diberikan kepada mereka yang berhak serta tindakan susulan harus diambil sekiranya ingin membersihkan imej keselamatan negara Malaysia.


Penutup

GAMIS turut bersedih dalam isu ini. serta ingin menugcapkan takziah kepada keluarga Allahyarham atas kehilangan insan tersayang. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan diletakkan beserta orang yang soleh. GAMIS juga menyeru kepada semua pihak termasuklah pihak kerajaan, Polis Di Raja Malaysia (PDRM), media dan masyarakat agar memandang serius dalam kes-kes seperti ini. Diharapkan kes-kes seperti ini tidak lagi berulang. Semoga keadilan dapat ditegakkan serta keselamatan negara lebih terjamin pada masa akan datang.

Al-Fatihah....

Tuesday, April 13, 2010

CIRI-CIRI WANITA SOLEHAH






Rasulullah bersabda,'Dunia ini adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah'. (Riwayat Muslim).*

Ciri-ciri wanita solehah.

Tidak banyak syarat yang dikenakan oleh Islam untuk seseorang wanita untuk menerima gelaran solehah, dan seterusnya menerima habuan syurga yang penuh keni'matan dari Allah s.w.t. . Mereka hanya perlu memenuhi 2 syarat sahaja, iaitu:

1. Taat kepada Allah dan RasulNya
2. Taat kepada suami

Perincian dari dua syarat di atas adalah sebagai berikut:

1- Taat kepada Allah dan RasulNya

- Mencintai Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w. melebihi dari segala-galanya.
- Wajib menutup aurat
- Tidak berhias dan berperangai seperti wanita jahiliah
- Tidak bermusafir atau bersama dengan lelaki ajnabi kecuali ada bersamanya mahramnya.
- Sering membantu lelaki dalam perkara kebenaran, kebajikan dan takwa
- Berbuat baik kepada dua ibubapa
- Sentiasa bersedekah samada dalam keadaan susah ataupun senang
- Tidak berkhalwat dengan lelaki ajnabi
- Bersikap baik terhadap jiran tetangga

2. Taat kepada suami


- Memelihara kewajipan terhadap suami
- Sentiasa menyenangkan suami
- Menjaga kehormatan diri dan harta suaminya semasa suami tiada di rumah.
- Tidak cemberut di hadapan suami.
- Tidak menolak ajakan suami untuk tidur
- Tidak keluar tanpa izin suami.
- Tidak meninggikan suara melebihi suara suami
- Tidak membantah suaminya dalam kebenaran
- Tidak menerima tamu yang dibenci suaminya.
- Sentiasa memelihara diri, kebersihan fizikal dan kecantikannya serta kebersihan rumahtangga.

FAKTOR YANG MERENDAHKAN MARTABAT WANITA

Apabila kita melihat bahawa punca rendahnya martabat wanita adalah datangnya dari faktor dalaman. Bukanlah faktor luaran atau yang berbentuk material sebagaiamana yang digembar-gemburkan oleh para pejuang hak-hak palsu wanita.

Faktor-faktor tersebut ialah:

1- Lupa mengingati Allah

Kerana terlalu sibuk dengan tugas dan aktiviti luar atau memelihara anak-anak, maka tidak hairan jika ramai wanita yang tidak menyedari bahawa dirinya telah lalai dari mengingati Allah. Dan saat kelalaian ini pada hakikatnya merupakan saat yang paling berbahaya bagi diri mereka, di mana syaitan akan mengarahkan hawa nafsu agar memainkan peranannya.

Firman Allah s.w.t. di dalam surah al-Jathiah, ayat 23: Ertinya: " Maka sudahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmunya. Dan Allah telah mengunci mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan tutupan atas penglihatannya."

Sabda Rasulullah s.a.w.: Ertinya: "Tidak sempurna iman seseorang dari kamu, sehingga dia merasa cenderung kepada apa yang aku sampaikan." (Riwayat Tarmizi)

Mengingati Allah s.w.t. bukan sahaja dengan berzikir, tetapi termasuklah menghadiri majlis-majlis ilmu, muzakrah atau sebagainya.

2- Mudah tertipu dengan keindahan dunia

Keindahan dunia dan keseronokkannya memang banyak menjebak wanita ke perangkapnya. Bukan setakat itu sahaja, malahan syaitan dengan mudah memperalatkannya untuk menarik kaum lelaki agar sama-sama bergelumang dengan dosa dan noda. Bukan sedikit yang sanggup menderhaka kepada Allah s.w.t. hanya kerana keni'matan dunia yang terlalu sedikit.

Firman Allah s.w.t. di dalam surah al-An'am: Ertinya:" Dan tidaklah penghidupan dunia ini melainkan permainan dan kelalaian dan sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa, oleh kerana itu tidakkah kamu berfikir."

Sumber : http://idhamlim.blogspot.com/2010/03/ciri-wanita-solehah.html

Labels: Artikel - ahli
Blog BM PMRAM_14/4/2010

Monday, March 1, 2010

AKU CINTA ALLAH

Andaikan,
Diriku bisa
seperti yg lain,
Yang Kau sayang
Yang Kau rindukan
Yang Kau cintai
aku lemah
TanpaMu aku lelah
aku sungguh tak berdaya…
Tolong ku,
Tolong ku,
ya Allah…
Setiap air mata ku mengalir
Allah,
aku lemah dan tak beerti
Setiap derai tangis membasahi
Allah,
jgn tinggalkan aku lagi
aku sayang Allah,
aku rindu Allah,
aku cinta Allah
Ya Allah, terimalah cintaku…

Saturday, February 6, 2010

PETUNJUK SEPANJANG JALAN


PESANAN AKHIR DARI SYED QUTB

SAUDARA!
Seandainya kau tangisi kematianku,
dan kau siram pusara ku dengan air matamu,
maka di atas tulang-tulang ku
yang hancur luluh,
nyalakan lah obor buat ummat ini
dan........
teruskan perjalanan ke gerbang jaya

SAUDARA!
Kematianku adalah suatu perjalanan
mendapatkan Kekasih yang sedang merindu
taman-taman di syurga Tuhan ku bangga menerimaku
burung-burungNya berkicau riang menyambutku
bahagialah hidupku di alam abadi

SAUDARA!
Puaka kegelapan pasti akan hancur
dan alam ini akan disinari fajar lagi
biarlah rohku terbang mendapatkan rinduNYA

Jangan gentar berkelana di alam abadi
Nun di sana fajar sedang memancar......

(Ditulis beberapa ketika sebelum menemui SYAHID)

sumber:
معالم في الطريق
~PETUNJUK SEPANJANG JALAN~

7 Februari 2010
23 Safar 1431H

Friday, January 29, 2010

Aku Hidup Dengan NamaMU ~AR-RAHMAN~


الرحمن
(AR-RAHMAN)


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Firman Allah: "Serulah Allah atau serulah Ar-Rahman. Dengan nama yang mana saja kamu seru, Dia mempunyai al-Asma ul-Husna (nama-nama yang terbaik) dan janganlah kamu mengerskan suaramu dalam solatmu dan janganlah pula merendahkannya dan carilah jalan tengah di antara kedua itu".

Surah al-Isra': 110

PERINGATAN UNTUK SEMUA...

Kasih sayang adalah perasaan yang terpancar daripada naluri seseorang. Bagi manusia, kasih sayang akan menjadi pengikat antara mereka dengan sesuatu yang disayangi. Pun begitu, kasih sayang yang ada dalam diri manusia biarpun menggunung, tidak mampu dibandingkan dengan kasih sayang ALLAH SWT.
Manusia yang bijak ialah mereka yang sentiasa menghargai kasih sayang Allah SWT terhadapnya. Mereka ini akan sentiasa berusaha untuk meraih kasih sayang Allah SWT dengan memastikan diri sentiasa menjunjung perintah ALLAH SWT dan meninggalkan segala laranganNya. Mereka tidak pernah jemu untuk berusaha dan mempertingkatkan kualiti diri melalui pelbagai amalan dan ibadah yang dapat mengundang kasih sayang ALLAH SWT.
Jesteru, bagi mendapatkan kasih sayang daripada Allah SWT, hendaklah dilakukan perkara-perkara berikut:
  1. Saling sayang-menyayangi sesama hamba.
Nabi SAW berpesan, sabdanya;

الراحمون يرحمهم الرحمن ارحموا اهل الارض يرحمكم من في السماء

" Orang yang berkasih sayang, pasti akan mendapat kasih sayang daripada Allah SWT yang Maha Pengasih. Hendaklah kamu sayangi sesiapa sahaja yang berada di bumi, pasti mereka yang ada di langit akan menyayangimu".
(Peringatan: biarpun boleh menyayangi sesiapa sahaja di muka bumi, jgn pula lupa larangan jgn mendekati zina yang mana permulaannya adlh salah tafsir sewenang2nya mencintai manusia sehingga melanggar syariat...)


2. Suami dan isteri yang mengamalkan solat malam secara berjemaah.

"Apabila seseorang lelaki bangun menunaikan solat malam, lalu membangunkan isterinya seraya kedua-duanya menunaikan solat dua rakaat, pasti mereka berdua akan dituliskan dari kalangan orang yang mengingati Allah" HR Ibnu Majah: 1325

3. Menghubungkan silaturahim.

4. Berbakti kepada kedua ibu bapa.


5. Solat malam dan membaca al-Quran dengan harapan Allah SWT menurunkan rahmat.

Sesungguhnya beruntunglah mereka yang mendapat limpahan kasih sayang Allah SWT semasa hayatnya di dunia kerana balasan yang menanti di akhirat pastinya syurga. Sebaliknya, amat besarlah kerugiannya bagi mereka yang tersisih daripada kasih sayang Allah SWT kerana neraka jahannam tidak sabar menunggu untuk mengganyang tubuh mereka di akhirat kelak.

Sebagai manusia biasa, kita tidak lari daripada kelalaian dalam mencari kasih sayang dan cinta Allah SWT. Kadang-kadang kita terpedaya dengan apa yang kita lakukan, konon-kononnya untuk mencari redha dan kasihNya. Namun kita sebenarnya menempah tiket kemurkaanNya tanpa kita sedari. IKHLAS SEMAT-MATA KERANA ALLAH MESTI HADIR DALAM SETIAP GERAK KERJA KITA. ITU KUNCINYA...
WALLAHUA'LAM

oleh Khairunnisa Mohd Fisol
15 Safar 1431H~ 31 Januari 2010_0407

Tuesday, January 5, 2010

Tips Berurusan Lelaki Dan Perempuan.


Hari ini batas pergaulan berlainan gander bukan sahaja serius dari kalangan mereka2 yg jahil, tetapi mereka2 yg dikira faham, fakih, berilmu juga turut mengalami tsunami ini samada secara sedar mahupun tidak, secara sengaja mahu pun tidak sengaja atau seumpamanya.
Berikut adalah 5 tips bagaimana berurusan dengan lelaki ajnabi. Tips-tips ini telah dikongsi oleh seorang sahabat yang amat disegani oleh kaum lelaki dan kaum wanita. Semoga dengan mengamalkan perbatasan hubungan ini, akan lebih mensucikan hati kita dan hati mereka. Sama-samalah kita menjaga hati...


1. Elakkan berurusan dengan lelaki - Selagi masih boleh dan berpeluang untuk minta tolong daripada perempuan. Kecuali dalam hal seperti dalam hal repair kereta, repair laptop dan lain-lain. Disebabkan limitation kemampuan wanita dalam hal tersebut, maka terpaksalah juga akhirnya minta bantuan daripada orang lelaki.


2. Kalau terpaksa berkomunikasi dengan orang lelaki, gunakanlah medium perantaraan dalam bentuk tulisan seperti SMS, e-mail atau nota kecil. Gunakan perkataan-perkataan formal,bukan bahasa pasar. Contoh :maaf(bukan sorrie..), terima kasih(bukan time kacih..). Lagi satu, tak payahlah buat smiley face ke =),gelak ke (hihihi..), dan lain-lain yang kurang berfaedah.

Elakkan bercakap melalui telefon kalau belum betul-betul desperate. Ini kerana suara wanita amat lunak dan boleh menggetarkan jiwa insan yang bernama lelaki. Buktinya sampai ALLAH sound kepada wanita supaya keraskan suara! Rujuk Quran,Surah Al-Ahzab, ayat 32 :"Wahai isteri-isteri nabi, kamu bukanlah seperti perempuan-perempuan lain jika kamu bertaqwa. Maka janganlah lemah-lembutkan suara dalam berbicara, sehingga bangkit nafsu orang yang ada penyakit dalam hatinya, tetapi ucapkanlah perkataan yang baik." Kalau rasa ayat ini ditujukan kepada isteri-isteri nabi sahaja, sepatutnya kita juga menyahut seruan tersebut untuk mencapai darjat yang sama seperti mereka-darjat wanita bertaqwa dan darjat wanita-wanita yang terpilih, kan ???


3. Tundukkan hati. Apabila terpaksa berurusan dengan lelaki, kita sepatutnya merasa bulu roma kita meremang-kerana takut pada ALLAH! Kita sangat takut sekiranya disebabkan kita, lelaki tersebut tertarik kepada kita. Sewaktu berhadapan dengan lelaki-lelaki tersebut, banyakkan beristighfar dan berdoa “ YA ALLAH, janganlah KAU jadikan lelaki ini tertarik kepadaku. Jauhkan pandangannya daripada panahan-panahan syaitan.”


4. Tundukkan pandangan. Jangan tertipu dengan subjek communication skills yang pernah kita belajar, "make eye contact with the person you’re talking to..". Ianya applicable kalau kita bercakap dengan sesama jantina sahaja. Kalau ada eye contact dengan orang yang berlainan jantina, kita akan mendapati teori “dari mata turun ke hati” itu benar-benar bisa berlaku.


Para sahabat dahulu pun, ALLAH perintahkan supaya tahan pandangan mata mereka apabila berurusan dengan isteri-isteri nabi. Rujuk kembali Surah Al-Ahzab, ayat 53 :"…apabila kamu meminta sesuatu daripada isteri nabi, mintalah dari belakang tabir. Itu lebih suci bagimu dan hati mereka…". Tetapi kita bukanlah disuruh membawa tabir ke mana-mana kita pergi. Kalau susah sangat nak jaga mata, tutuplah pandangan dengan buku ke, fail ke..


Kita lihat betapa ALLAH sangat mengambil berat masalah hati para sahabat dan isteri-isteri nabi supaya mereka tidak tewas ke dalm kemungkaran. Kalau kita nak jadi sehebat mereka, kenalah aplikasikan apa yang mereka lakukan. Takkan nak tunggu ALLAH sebut nama kita dalam Quran baru nak buat. Contoh :"Wahai cik_____, tundukkanlah pandangan.." . Isk,isk..tak layaknya..


5. Cepatkan urusan. Perkara ini mungkin applicable kepada students/orang yang dah bekerja dan terpaksa berurusan dengan team lelaki. Dah tak dapat nak dielakkan, mereka sahaja teammate kita. So, apa-apa kerja yang dibuat bersama, buat sahajalah kerja tersebut. Tak payahlah nak berborak-borak, tanya hal peribadi, gelak-gelak, buat lawak..tak perlu,TAK PERLU! Siapkan kerja cepat-cepat, then go.


Discussion venue pula buatlah di tempat yang proper dan berurusanlah secara professional. Semoga bermanfaat dan semoga kita dikenali sebagai wanita mu’minah yang ada identiti, yang taat perintah ALLAH dan takutkan hari pembalasan. Semoga tidak melalaikan diri kita dan orang yang menerimanya. Jagalah diri, hiasi peribadi.